KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu mungkin melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan parti-parti lain.
Bagaimanapun, menurut Naib Presiden UMNO itu, sebarang keputusan kerjasama dengan parti lain akan diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas keputusan pilihan raya.
“Kalau 85 kerusi tak boleh bentuk kerajaan, untuk bentuk kerajaan kena ada simple majoriti (majoriti mudah) 112.
“Jadi tentu kita akan bekerjasama dengan parti lain, sebagai mana contoh GPS di Sarawak, GPS di Sabah atau parti-parti yang ditentukan oleh MT parti selepas pilihan raya.
“Apa-apa hal, kita tunggu dahulu keputusan pilihan raya, MT parti akan membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Media City di Angkasapuri di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan yang menjangka BN mampu meraih kemenangan 80 hingga 85 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu.
Melihat kepada angka tersebut, Azmi berkata, ia masih tidak mencukupi untuk BN mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi.
Maka, BN memerlukan sokongan parti-parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak untuk kembali membentuk kerajaan.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk BN mencari rakan kerjasama bagi membentuk kerajaan Pusat selepas PRU15
Katanya, BN perlu melihat dahulu keputusan pilihan raya umum dan sebarang ketetapan lanjut akan dibuat kemudian.
Beliau berkata, namun paling penting adalah BN perlu melepasi sasaran kerusi Parlimen bagi memudahkannya membentuk kerajaan Pusat. – UTUSAN