Bau asap selamatkan remaja dari rentung - Utusan Malaysia

Bau asap selamatkan remaja dari rentung

MOHD Zulffi Ramli (kanan) semasa menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yakob selepas rumahnya terbakar di Kampung Kepulau, Tumpat, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Bau asap berjaya menyelamatkan seorang remaja daripada rentung selepas rumahya di Kampung Kepulau disini terbakar malam tadi.

Kejadian pada pukul 11.30 malam itu berlaku semasa Mohd. Zulffi Ramli, 18, hampir terlelap sebelum hidungnya ‘tercium’ bau asap.

Mohd. Zulffi berkata, curiga dengan bau itu dia terus bertindak keluar dari bilik tidurnya untuk memeriksa kawasan persekitaran rumah.

“Sebaik sahaja membuka pintu bilik tidur abang (Mohd Hafiz, 26), saya terkejut mendapati asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.

“Panik melihat asap tebal itu, saya terus turun ke tingkat bawah meminta bantuan jiran dan ada yang membantu menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya di sini hari ini.

Mohd. Zulffi memberitahu, dia sempat membawa keluar motosikal ke tempat selamat kerana api marak terlalu cepat.

Katanya, semasa kejadian dia bersendirian kerana kedua ibu bapanya ke Nilai, Negeri Sembilan menguruskan pendaftaran salah seorang abangnya ke universiti.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd Rafain Mat Zin berkata, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan  Penyelamat Wakaf Bharu, Tumpat dan Pengkalan Kubor terlibat dalam operasi kebakaran itu selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.45 malam.

“Api berjaya dikawal pada jam 12.20 tengah malam. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN