KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen hadir seperti biasa ke Dewan Rakyat hari ini bagi mendengar pembentangan Bajet 2023, seolah-olah tidak ada pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.
Perkara itu boleh dilihat apabila beberapa ahli Parlimen mula memenuhi dewan seawal 3.30 petang, melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ada ahli Parlimen yang berpakaian formal dengan berkot dan ada yang berbusana baju Melayu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tiba di dewan, beberapa minit sebelum deringan loceng berbunyi tepat pukul 4 petang bagi memanggil kesemua ahli Parlimen sebelum pembentangan dimulakan.
Ini diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memasuki dewan dengan berbaju Melayu berwarna biru tua, bersama-sama barisan jemaah menteri.
Malah, ketika Tengku Zafrul mula membentangkan Bajet 2023, tidak ada tanda-tanda pembubaran akan diumumkan, sebaliknya semua Ahli Parlimen fokus kepada pembentangan tersebut. –UTUSAN