PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan berharap Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini akan memberi tumpuan kepada usaha baik pulih ratusan sekolah daif di negara ini.
Menteri Kanannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara tersebut antara 11 inisiatif yang telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan peruntukannya.
“Jika boleh, kita mengharapkan ada dana untuk sekolah skala tujuh yang dikategorikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat diduduki,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau hadir melakukan tinjauan mengejut di kantin Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini dengan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.
Beliau kemudian berpeluang menyantuni sebahagian murid ketika waktu rehat di sekolah satu sesi tersebut dan menyaksikan suasana kesesakan mereka beratur bagi membeli makanan.
Berdasarkan rekod kementerian tersebut, dianggarkan terdapat hampir 700 buah sekolah daif di seluruh negara dengan sebahagian besarnya terletak dalam kawasan pedalaman Sarawak.
Negeri berkenaan dikenal pasti mencatatkan sejumlah 351 buah sekolah daif dengan 107 premis daripada institusi pendidikan itu telah disahkan oleh pihak JKR sebagai berskala tujuh.
Sementara 244 buah lagi adalah skala enam iaitu memiliki bangunan tidak selamat dengan pengesahan teknikal daripada Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri.
Pada 29 Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Bajet 2022 telah pun memperuntukan RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan.
Ia meliputi sebanyak 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan tahunan oleh kerajaan persekutuan dan kementerian tersebut sekali lagi menerima peruntukan terbesar.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, selain aspek prasarana pendidikan, segala inisiatif yang dikemukakan untuk Bajet 2023 turut merangkumi elemen pembangunan kluster murid dan guru.
“Bagi tenaga pendidik, kita berharap semua cikgu akan dapat peranti bagi menaik taraf proses pengajaran dan pembelajaran sejajar misi bagi mencapai transformasi pendigitalan,” katanya.
Usaha berterusan itu juga ujarnya, berdasarkan pengalaman dan iktibar ketika tempoh awal penularan wabak Covid-19 apabila pendidikan secara fizikal beralih kepada kaedah maya.
Pada masa sama, kementerian juga berharap ada peruntukan untuk penambahbaikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang agak kurang enrolmen pelajar.
Masalah itu katanya, perlu diatasi segera kerana jika tidak, Malaysia akan berdepan masalah kekurangan profesional dalam aliran tersebut sebagai modal insan pembangunan negara.
Usaha itu, jelas Radzi, termasuk bajet untuk 84 buah Kolej Vokasional di seluruh Malaysia bagi melahirkan puluhan ribu graduan yang berkemahiran tinggi untuk memasuki pasaran buruh.
Tidak ketinggalan isu Rancangan Makanan Tambahan yang ketika ini kadar hidangan seorang murid ditetapkan RM2.50 sejak 2016 sebagai amat rendah dan membebankan pengusaha kantin. –UTUSAN