Armada ugut tak keluar berkempen jika Pas tanding Jasin -

Armada ugut tak keluar berkempen jika Pas tanding Jasin

MUHAMMAD JEFRI Safry (tengah) menuntut calon daripada Bersatu bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada PRU15. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin menuntut pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon daripada parti itu dan bukannya Pas di kerusi Parlimen Jasin.

Ketuanya, Muhammad Jefri Safry berkata, ini kerana calon Bersatu adalah lebih layak bertanding di situ walaupun kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi Pas.

Menurutnya, jika PN menyenaraikan calon Pas, seluruh jentera Armada Bahagian Jasin tidak akan meneruskan kempen sehingga hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),19 November ini.

“Sewajarnya, pihak atasan PN dan Bersatu mendengar suara anak muda di Jasin yang mahukan calon daripada Bersatu diangkat bertanding di Jasin pada PRU15 nanti.

“Tuntutan agar calon Bersatu mewakili PN bertanding di sini dibuat berdasarkan ketetapan yang diputuskan sewaktu Persidangan Armada Bahagian Jasin baru-baru ini.

“Calon daripada Bersatu sebenarnya lebih relevan untuk diangkat bertanding di sini dan kita mempunyai calon berwibawa untuk diketengahkan,” katanya dalam sidang akhbar di Kelab Golf Heritage Jasin di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, Mesyuarat PN Melaka sebelum ini bersetuju Pas bertanding di Jasin dan Tangga Batu manakala tiga lagi kerusi iaitu Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah serta Alor Gajah diberikan kepada Bersatu, dan Gerakan pula di Kota Melaka.

Mengulas lanjut, Muhammad Jefri berkata, Bersatu mempunyai tiga pemimpin berkaliber untuk diketengahkan sebagai calon di Parlimen berkenaan.

Menurutnya, mereka ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Jasin, Mustafa Ahmad dan Setiausaha Srikandi Bersatu, Azalina Abdul Rahman.

“Berdasarkan prestasi sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, tiga calon daripada Bersatu dan dua dari Pas yang bertanding, hanya kerusi DUN Bemban dimenangi.

“Oleh yang demikian, kemenangan satu kerusi di Bemban dan kekalahan tipis di Rim dan Sungai Rambai berbanding Pas, membuktikan calon Bersatu adalah layak bertanding di Parlimen Jasin,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya