Anwar, jeneral ajar cara berperang

Anwar jeneral yang ajar cara berperang

PARLIMEN Tambun bakal menjadi antara kerusi paling panas apabila Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding menentang Ahmad Faizal Azumu pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

BEKAS Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Tambun pada PRU15 yang menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Farhash secara peribadi pada awalnya beliau tidak bersetuju dengan keputusan Anwar bertanding di kerusi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS, Farhash menjelaskan mengapa beliau akhirnya mengakui Anwar membuat keputusan yang tepat.

UTUSAN: Adakah saudara ber­tanding pada PRU15?

FARHASH: Saya tak bertan­ding. Saya diminta menjadi Pe­ngarah Pilihan Raya (PH) bagi Parlimen Tambun. Saya ditawarkan bertanding tapi saya rasa lebih penting untuk memberi kemenangan kepada Anwar.

Bagaimana peluang Anwar di Tambun?

Secara peribadi pada awal­nya, saya tidak bersetuju Anwar ke sini tapi selepas beliau memberi pandangan dan hujah-hujah, saya setuju. Saya nampak apa yang beliau nak capai, sebab agenda Anwar adalah agenda besar untuk rakyat.

Beliau berani nak ambil risiko supaya kita boleh bawa satu momentum dan perubahan kepada rakyat. Sebab itu dipanggil ‘Koridor Harapan’. Apabila beliau beritahu saya, baru saya nampak. Sebenar­nya sebagai Presiden parti, beliau boleh pilih mana-mana kerusi yang beliau mahu, tiada masalah.

Sampaikan saya beritahu beliau, Rasulullah sebut ‘kalau diberi dua pilihan, susah atau senang, pilih yang senang’. Tapi lepas itu saya cakaplah, kalau saya dalam situasi beliau, saya pun akan datang ke Tambun.

Sebab kalau jeneral perang tak tunjuk cara nak pergi perang, orang lain tak akan ikut sebab kebiasaannya kepimpinan ini semua nak ambil ‘seat’ selamat- sahaja. Alhamdulillah, beliau sudah tunjuk langkah panglima perang, harap itu akan jadi lonjakan PRU kali ini.

Dakwaan Tambun perangkap menamatkan karier politik Anwar?

Saya tak setuju, sebab demografik, peratusan Melayu dalam 65 hingga 66 peratus di sini, tinggi. Tapi Anwar bukan asing de­ngan pengundi Melayu. Kalau di Permatang Pauh peratusan pe­ngundi Melayu lebih tinggi. Cuma soal di Tambun ini sebab beliau bukan orang sini, baru nak menapak tapi ini bukan luar biasa.

Ada ahli-ahli politik yang buat begitu seperti Lim Kit Siang yang sentiasa membuka lembaran baharu. Sebenarnya, saya pernah menyuarakan kepada kepemimpinan, nama-nama besar ini tak boleh duduk di tempat dia, dia kena pergi buka tempat-tempat baharu, biar yang ‘junior-junior’, yang masih baru-baru belajar ini bertanding di tempat yang mudah.

Alhamdulillah, saya seronok dan saya harap pada PRU15, pimpinan-pimpinan PH dapat buat benda yang sama seperti yang Anwar buat, sebab barulah senang buka tempat baru, sebab kalau kita tengok kalau tempat itu peratusan nak menang mungkin perlu 5,000-10,000 lagi pengundi, hanya nama besar yang boleh buat.

Respons awal pengundi yang anda lihat terhadap Anwar di Tambun?

Nampak rata-rata positif, kita ada buat kajian lapangan tapi belum membuat kajian secara besar-besaran lagi. Awal-awal ini untuk ‘set-up’ bilik gerakan utama di Hulu Kinta dan Manjoi, lantik Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM). Kita cari sukarelawan, pastikan semua JDM ada bilik gerakan, ada jawatankuasa lengkap jadi perkara ini perlu disiapkan segera.

Apakah kebimbangan anda terhadap peluang Anwar di Tambun?
Sebelum saya terima tugasan diberi kepada saya ini, saya tanya Anwar, ‘what is your expected numbers’ untuk menang, sebab ini tempat baharu?. Apa yang diberi itu Insya-Allah boleh capai.

Kita tak tahu, sebab peningkatan pengundi baharu di sini hampir 60,000 orang, itu yang menjadi tanda tanya sama ada ‘swing’ itu kepada PH atau kepada pihak lain sebab PRU15 ini peningkatan pengundi yang sangat besar. Tak ada siapa tahu lagi, sama ada ‘voters’ berumur bawah 40 tahun memihak kepada BN, PN, atau PH, kita tak dapat nak kenal pasti lagi.

Tapi sudah tentunya Anwar adalah nama besar dan Peja adalah ‘underdog’. Orang bercakap Anwar bukan orang tempatan, (Ahmad Faizal) buat tagline ‘ayor, ayaq’. Untuk saya, Tambun memilih Perdana Menteri, bukan memilih Ahli Parlimen. Saya pernah terlibat jatuhkan Peja sewaktu dia Menteri Besar dan kali ini saya mahu bantu jatuhkan dia sebagai Ahli Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN