Angkasapuri Kota Media simbol penyiaran negara - Utusan Malaysia

Angkasapuri Kota Media simbol penyiaran negara

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat penyiaran negara Media City  iaitu Angkasapuri Kota Media kini menjadi simbol baharu penyiaran teknologi digital Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kehadiran pusat itu sebagai simbol penyiaran negara bukan sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal.

Hal ini kerana, menurut beliau,  teknologi dibawa bersama pembangunan itu wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas selain penyampaian maklumat dan hiburan kepada rakyat.

“Saya berharap Media City pada masa hadapan akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester, United Kingdom; Sydney, Australia dan Singapura.

“Kejayaan pembangunan Media City ini adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek-projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang di negara ini bagi memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya pada  Majlis Perasmian Bangunan Media City di Angkasapuri di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Ismail Sabri turut mengumumkan nama-nama jalan di kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Selain itu, kata Naib Presiden UMNO itu, pembangunan dalam bidang penyiaran dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan, khususnya berkait dengan medium penyampaian maklumat.

Katanya, bidang penyiaran iaitu radio dan televisyen (TV) turut berdepan persaingan sengit menerusi pelbagai platform media baharu.

Pada masa sama katanya, bilangan syarikat swasta yang memohon lesen pengoperasian (CASP) bagi mengendalikan aktiviti sebagai stesen penyiaran radio mahupun TV secara langganan atau percuma juga meningkat.

“Di sebalik persaingan yang semakin pesat ini, Jabatan Penyiaran Malaysia atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), kekal sebagai perintis, pelopor dan pemangkin kepada pembangunan industri penyiaran negara, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya