PETALING JAYA: ‘Adil, cekap, tegas, pantas dan bijak’.
Itu antara kriteria dihajati anak-anak muda terhadap calon wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagi penuntut tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurul Aqilah Husni, 23, pemimpin era digital perlu cekap dan pantas bagi menghadapi cabaran ekonomi 2023, sekali gus mengembalikan kestabilan politik negara.
Menurutnya, ini termasuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah tanpa mementingkan diri dan kroni.
“Selain itu, wakil rakyat PRU15 mestilah lebih baik daripada pemimpin sebelum ini dalam melaksanakan tugas di samping mementingkan rakyatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM), Florina Deris, 23, berharap pemimpin yang terpilih nanti betul-betul mampu mentadbir negara terutamanya dalam situasi masa kini yang agak kelam-kabut.
Jelasnya, kriteria pemimpin yang baik adalah bebas daripada rasuah, tidak terlibat dengan jenayah, amanah dan mampu mentadbir.
Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Zakwan Adib, 18, berkata, ini kali pertama dia akan mengundi untuk sama-sama mencorak politik dan pentadbiran negara.
“Saya berharap pilihan yang rakyat buat kali ini tepat, dengan memilih kerajaan amanah dan telus, bukannya pemimpin terlibat kes-kes tidak elok atau tenggelam dalam mainan politik.
“Kriteria Perdana Menteri mestilah bertanggungjawab, amanah dan paling penting cepat mengambil tindakan jika ada masalah atau ketidakpuasan hati disuarakan rakyat,” jelasnya.
Graduan Management and Science University (MSU), Nur Syhira Saidi, 21, pula berkata, Malaysia memerlukan badan pembuat dasar yang melaksanakan amanah dengan lebih baik demi meningkat Malaysia dalam semua aspek.
Menurut beliau, perkara itu sangat penting demi menjamin keseimbangan negara dari semasa ke semasa terutamanya ketika kemelutan ekonomi.
“Calon pemimpin pasca PRU15 yang akan saya pilih perlu mampu jaga kebajikan rakyat dan bukan jenis lepas tangan selepas dapat sokongan,” katanya.- UTUSAN










