Ahmad Said mahu bertanding DUN - Utusan Malaysia

Ahmad Said mahu bertanding DUN

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek memakaikan tanjak kepada Ahmad Said selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu  bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu berkata, beliau ingin kekal bertanding di kerusi DUN berikutan misinya sebelum ini untuk membangunkan negeri Terengganu belum selesai. 

“Saya masih mahu kekal bertanding di negeri (DUN) kalau diberi peluang. Terpulang kepada pucuk pimpinan nak letak saya di DUN mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman dan melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN),  di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu tidak menolak kemungkinan  terus mengekalkan kerusinya di DUN Kijal sekiranya dipersetujui pucuk pimpinan. 

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk kembali menjadi Menteri Besar,  beliau berkata, pelantikan jawatan tersebut akan diiputuskan oleh presiden parti dan perlu mendapat perkenan Sultan Terengganu. 

Dalam pada itu, Ahmad berkata pihaknya yakin akan dapat menawan sekurang-kurangnya empat daripada lapan kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU15. 

“Insya-Allah kita boleh menang di Parlimen Besut, Hulu Terengganu, Setiu dan Kemaman, manakala Parlimen Kuala Nerus pula 50-50 (seimbang).

“Kita lihat sokongan rakyat di negeri ini mulai berubah dan ramai yang telah menyatakan sokongan terhadap UMNO  seperti semalam, seramai 300 orang penyokong Pas dan Bersatu di Dungun menghantar borang untuk masuk UMNO,” katanya. 

Selain itu, Ahmad berkata, beliau juga telah menyerahkan nama-nama calon Parlimen kepada lima pemimpin tertinggi UMNO atau ‘Top 5’ untuk penelitian pada Khamis lalu. 

Menurutnya, calon yang dikemukakan tersebut mempunyai rekod peribadi bersih dan bebas daripada kesalahan jenayah. 

“Calon yang ditampilkan ini adalah individu yang kita yakin boleh menang dan disenangi penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya