KUALA LUMPUR: Beberapa ahli parlimen yang lompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bersedia untuk bertanding lagi pada PRU15 malah mereka yakin menang berdasarkan khidmat ditaburkan berbanding parti diwakili.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, beliau akan bertanding di parlimen sama sekiranya diberi peluang kerana gerak kerja tidak pernah terputus sehingga hari ini.
“Saya bersedia untuk bertanding. Saya sudah maklumkan kepada parti, namun belum ada keputusan lagi.
“Pada saya, tiada masalah jika ingin bertanding sekali lagi di Bagan Serai kerana khidmat saya masih berterusan sehingga kini. Baik dari segi kecemasan, kebajikan, kesihatan dan sebagainya, saya masih buat macam biasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Noor Azmi yang kini menyertai Bersatu adalah ahli parlimen pertama lompat parti sebaik Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14.
Ia diikuti beberapa ahl-ahli parlimen lain sehingga menjadikan jumlah semua ahli parlimen lompat parti selepas PRU14 seramai 39 orang.
Ditanya penerimaan rakyat terhadapnya, Noor Azmi berkata, tindakannya itu tidak menjadi masalah kerana rakyat lebih melihat kepada khidmat yang diberikan.
“Setakat ini kesemuanya positif, kalau kita tengok luaran, body language mereka nampak okay, tapi benak hati mereka, kita tidak tahulah.
“Waktu undian nanti baru kita akan tahu, “ ujarnya.
KEKAL
Sementara itu, Datuk Rosol Wahid turut berkata, beliau juga berhasrat untuk kekal bertanding di parlimen Hulu Terengganu jika diberi peluang.
“Sebab masyarakat sekarang lebih melihat kepada khidmat, bukan parti. Mereka nak lihat kepada orang yang boleh buat kerja. Itu lebih penting,” katanya.
Malah kata Rosol, mengikut perkiraan pada PRU15, UMNO boleh dikalahkan jika undian Pas dan Bersatu dicampur.
“Ia akan menjadikan jumlah keseluruhan untuk Perikatan Nasional (PN) lebih 28,000, berbanding UMNO kira-kira 26,000. Di situlah kekuatannya,” kata Rosol yang kini mewakili Bersatu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, seramai 39 ahli Parlimen lompat parti sejak berakhirnya PRU14 dan tindakan itu menunjukkan amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan membimbangkan.- UTUSAN










