8,000 penjawat awam Pahang terima bantuan khas kewangan

8,000 penjawat awam Pahang terima bantuan khas kewangan sebulan setengah gaji

WAN ROSDY Wan Ismail (kanan) menunjukkan buku Bajet Pahang 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 8,000 penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak sebulan setengah gaji bagi setiap seorang yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing secara berperingkat bermula tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembayaran bantuan khas itu membabitkan peruntukan RM33 juta.

“Sebagai penghargaan dan sanjungan tinggi kepada kakitangan awam yang sentiasa mendukung aspirasi serta agenda kemajuan negeri Pahang, kerajaan negeri berbesar hati memberikan bantuan khas kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri. 

“Bayaran ini akan dikreditkan kepada mereka sebanyak satu bulan gaji pada tahun ini dan setengah bulan gaji pada Januari tahun depan,” katanya ketika membentangkan Bajet Pahang 2023 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy turut mengumumkan beberapa bayaran insentif lain termasuk sumbangan sekali bayar RM250 kepada semua 300 orang penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). 

“Bayaran insentif ini membabitkan peruntukan RM75,000 sebagai mengiktiraf komitmen pekerja, pendidik dan pengasuh orang kurang upaya (OKU) sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada golongan terbabit.

“Kita akan turut menganjurkan Karnival Sukan OKU PPDK Negeri Pahang melibatkan peruntukan sebanyak RM250,000 selain turut berhasrat mewujudkan Geran Pembangunan dan Insentif Khas OKU Negeri yang akan melibatkan peruntukan RM850,000,” katanya. 

Kerajaan negeri turut meneruskan Program Anggun Niaga pada 2023 dengan peruntukan dinaikkan kepada RM750,000 untuk manfaat 700 ibu tunggal di seluruh negeri yang akan memperoleh modal perniagaan sebanyak RM1,000 seorang.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang dipimpin dengan keprihatinan, tahun 2023 bakal menyaksikan agenda kebajikan rakyat Pahang menikmati satu gandaan yang besar.

“Saya mulakan dengan Bantuan Prihatin Pahang 2023 secara bersasar yang akan melibatkan RM42.4 juta. Berbanding tahun ini, peruntukan tahun hadapan meningkat sebanyak RM8 juta dan akan melibatkan seramai 218,193 orang penerima.

“Antara penerima termasuklah pelajar dan anak muda seperti pelajar tahfiz, mahasiswa, dan food rider; golongan B40 seperti ibu tunggal miskin, anak yatim, nelayan, petani dan pemandu teksi; masyarakat umum seperti orang asli, pemandu bot pelancong dan malim gunung, OKU, masjid dan surau, jemaah haji, mualaf dan warga emas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemberian apresiasi dan penghargaan turut diperuntukkan kepada veteran tentera dan polis yang masing-masing akan menerima RM200 setiap seorang melibatkan 9,000 penerima dengan jumlah RM1.8 juta.

“Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Negeri yang akan menerima RM50,000 bagi setiap persatuan dengan jumlah RM100,000. 

“Pesara Kerajaan Negeri pula akan menerima RM200 melibatkan 4,500 penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM900,000,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya