PETALING JAYA: Kestabilan dan keabsahan kerajaan baharu akan ditentukan menerusi mandat 21.2 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tarikhnya akan diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 20 Oktober ini.
Oleh itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, beliau melihat keputusan membubarkan Parlimen lebih awal dari tempoh matang sebagai sesuatu yang baik dari segi demokrasi.
Menurut beliau, masalah kestabilan politik negara ini wajar diselesaikan segera menerusi sistem demokrasi yang matang dan subur.
“Sebagai orang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya melihat kerajaan yang ada ini tidak sah dari segi demokrasi, ‘stolen government’ (kerajaan yang dicuri). Tiada keabsahan.
“Malah, dari segi kedudukannya, ia dianggap sebagai negara yang ada masalah politik yang perlu diselesaikan segera. Kebanyakannya dalam sistem demokrasi, kerajaan yang jatuh sebegitu (langkah Sheraton) ia tidak diambil alih oleh kerajaan lain sebaliknya akan diadakan pilihan raya supaya rakyat yang memberi mandat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sejumlah 21,179,773 pengundi bertanggungjawab untuk memilih kerajaan pada PRU15 yang hari pengundiannya akan diketahui pada 20 Oktober ini.
DAFTAR
Jumlah itu adalah berdasarkan senarai daftar pemilih yang dikemas kini pada 15 September lalu.
Dalam pada itu, Ab. Rashid berkata, adalah tidak wajar sekiranya cuaca dijadikan alasan bagi menangguhkan PRU15 sehingga tahun depan.
“Dari sudut lain iaitu cuaca pula, ia tiada dalam buku pilihan raya cuma adalah baik sekiranya faktor persekitaran dikaji selain faktor lain seperti keselamatan.
“Zaman dulu orang tidak beri penekanan sangat, hanya sekali dua sahaja. Saya faham memang tidak bagus sekiranya keadaan tidak terkawal dan diadakan dalam keadaan luar jangka.
“Apa yang saya harapkan cuaca baik dan berjalan lancar agar Malaysia ditadbir kerajaan yang sah dan diberi mandat. Ini penting kerana apabila dunia iktiraf kerajaan Malaysia, pelaburan pun masuk terutama dari luar negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ab. Rashid berkata, sistem perwakilan berkadar wajar dilaksanakan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi mewujudkan demokrasi lebih adil di negara ini.
Menurutnya, sistem sedia ada yang diguna pakai iaitu First Past The Post disifatkan kurang sesuai dan tidak adil bagi proses pengundian di peringkat Parlimen.
Katanya, sistem undi itu juga mempunyai kekurangan dan menyebabkan undi parti yang mengalami kekalahan tidak bernilai.
“Kalau kita menggunakan sistem perwakilan berkadar, keputusan adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperoleh oleh setiap parti. Kalau Pakatan Harapan (PH) dapat 40 peratus undi keseluruhan, maka PH dapat 40 kerusi.
“Ia terjemah peratusan undi kepada kerusi. Ia tiada wakil rakyat yang wakil satu-satu kerusi. Ia mengikut senarai parti. Parti buat senarai ikut seniority. Kawasan pilihan raya itu ada. Mereka ada pejabat di setiap kawasan berdasarkan parti,” katanya. – UTUSAN










