11 individu didakwa culik lelaki Palestin - Utusan Malaysia

11 individu didakwa culik lelaki Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 10 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat rahsia berkaitan penggodaman telefon bimbit pada akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada 11 individu berkenaan dan mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; (warganegara Indonesia), Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; dan Faizull Hardey Mohd. Isa, 40.

Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34; dan Raibafie Amdan, 39.

Kesemua 11 individu berkenaan didakwa bersama-sama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 37, kira-kira pukul 10.40 malam, 28 September lalu di Jalan Mayang di sini.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa menahan mangsa dengan cara tidak berpatutan untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia berkaitan maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer.

Perisian itu didakwa digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka tiba di pekarangan mahkamah diiringi ketat oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu dikategorikan sebagai dilarang jamin.

Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang jaminan dan menetapkan kes itu disebut pada 15 Disember ini.

Ketika mahkamah masih bersidang untuk kes berlainan, sekumpulan tertuduh dilihat cuba berkomunikasi dengan anggota keluarga yang hadir mengikuti prosiding, namun dihalang oleh anggota polis yang mengiringi mereka.

Laporan media pada 5 Oktober lalu menyatakan, seramai 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas selepas terlibat dalam kes culik melibatkan seorang lelaki warga Palestin pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur keesokan harinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN