100,000 pengguna mohon lebar jalan, atasi kesesakan teruk  -

100,000 pengguna mohon lebar jalan, atasi kesesakan teruk 

KESESAKAN teruk lalu lintas di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, Selangor, petang semalam. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari di sini memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak sejak dua minggu lalu.

Kesesakan lebih tiga kilometer (km) itu didakwa berpunca daripada kekurangan lorong kenderaan yang tidak mampu menampung aliran tinggi trafik di laluan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terutama di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding hanya lima minit sebelum ini.

Pengguna, Mohd. Marzuki Abdullah, 48, berkata dia menggunakan laluan itu setiap hari sejak menetap di Alam Budiman pada 2009.

“Selain pergi bekerja, ia menjadi satu-satunya laluan untuk saya menghantar anak ke sekolah berdekatan.

“Namun, jalan itu sejak kebelakangan ini semakin sesak tanpa mengira hari sehingga memaksa saya bertolak lebih awal berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, petang semalam.

Menurutnya, kesesakan itu berlaku bermula pukul 6.30 pagi  sehingga 9 malam, malah,ada pengguna turut terlewat menghantar anak ke sekolah.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 53, peningkatan jumlah kenderaan antaranya selepas pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada 14 Oktober lalu.

“Namun, kesesakan itu boleh diatasi jika pihak berwajib melebarkan lagi jalan dengan menambah lorong di kawasan berkenaan.

“Masalah berlaku kerana laluan melepasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana hanya satu lorong sedangkan jumlah kenderaan terlalu banyak,” katanya.

Tambah beliau, pihak berwajib diharap dapat segera menyelesaikan masalah itu yang semakin teruk sekiranya berlaku kerosakan kenderaan dan kemalangan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli berkata, kerajaan Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengambil tindakan segera mengatasi isu berkenaan yang turut menjejaskan penduduk Puncak Alam.

“Ia melibatkan kemudahan infrastruktur rakyat yang kini terbeban dengan masalah kesesakan teruk tersebut.

“Jumlah penduduk juga kian meningkat dengan pembinaan projek perumahan baharu dan pelebaran jalan itu perlu segera dilakukan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.