PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited dalam membantu masyarakat meringankan beban mereka.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Tuan Jefferey Nor Mohamed berkata, antara langkah menyantuni masyarakat termasuk program ziarah YBR ke Putatan, Sabah baru-baru ini.
“Dalam rangka lawatan pihak YBR di Putatan kali ini, YBR menziarahi beberapa individu antaranya Zaitun Ishak, 34, yang hanya berbaring di rumah selepas menjalani pembedahan tiroid.
“Zaitun yang juga menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi selama lebih 10 tahun ini mengalami kesukaran untuk berjalan dan amat memerlukan sumbangan kerusi roda selain katil hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sumbangan YBR diharap akan memudahkan Zaitun untuk bergerak selain lebih selesa apabila berbaring.
“Saya selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR akan cuba untuk menyediakan keperluan katil hospital untuk beliau.
“Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program YBR dan saya akan cuba sebaik mungkin, termasuk memberi bantuan yang diperlukan, misalnya seperti kerusi roda, bekalan makanan dan sebagainya, bergantung pada keperluan tertentu mereka yang memerlukan,” katanya. –UTUSAN