Wujudkan ‘uptown’ Taman Sena, kerajaan negeri terus membisu -

Wujudkan ‘uptown’ Taman Sena, kerajaan negeri terus membisu

RUANG niaga Taman Sena yang berpotensi dibangunkan sebagai pasar larut malam atau uptown di Taman Sena Indah, Kangar, Perlis. -UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan lapang di Taman Sena di sini yang sebelum ini rancak dengan aktiviti perniagaan sesuai dibangunkan semula sebagai pasar larut malam atau ‘uptown’ Taman Sena sekali gus bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke negeri ini.

Justeru, kerajaan negeri digesa segera mewujudkan pasar larut malam tersebut seperti mana yang telah lama dicadangkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil berkata, cetusan idea mewujudkan uptown Taman Sena itu telah dibangkitkan selaras inisiatif Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Satu Tarikan sebagaimana direncanakan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, impian rakyat negeri ini untuk memiliki uptown seperti di Shah Alam, Selangor atau Danau Kota di ibu kota dilihat terus sepi tanpa sebarang maklum balas.

“Sebelum ini, telah diadakan perbincangan melibatkan beberapa pemimpin komuniti tempatan dan persatuan penduduk yang mencapai kata sepakat untuk pembangunan uptown Taman Sena yang pernah popular satu ketika dahulu.

“Perkara ini telah diangkat di sidang DUN sebelum ini dan diluluskan, namun ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri pada ketika itu menjelaskan bahawa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini, negara telah memasuki fasa endemik namun perkara berkaitan pembangunan uptown tersebut masih tiada maklum balas.

Menurut Asrul Nizan, pembangunan uptown yang terletak di tengah pusat bandar Kangar itu mampu menarik minat pelancong selain menjana ekonomi penduduk setempat.

Katanya, sebelum ini dilaporkan terdapat operator telah dilantik namun perkara itu masih kabur sehingga hari ini.

“Perancangan pembangunan tersebut sebelum ini turut melibatkan penyertaan pihak swasta serta peniaga tempatan dan kita juga mempunyai Koperasi Sena Jaya yang boleh turut serta.

“Perancangan uptown Taman Sena turut memiliki beberapa segmen seperti medan selera, binaan kontena dua tingkat berbumbung, ruangan terbuka untuk penganjuran acara dan lain-lain lagi untuk menjadikan ia satu tarikan baharu di negeri ini,” jelasnya. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya