PETALING JAYA: Semua kerajaan negeri perlu mewartakan tanah tinggi di negara ini khususnya berketinggian atas 300 meter dari aras laut sebagai langkah melindungi khazanah alam itu.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sebagai kerajaan, mereka wajib mempertahankan tanah tinggi dan hutan yang masih ada bagi mengekalkan fungsi mencegah bencana yang semakin banyak dilaporkan sejak akhir-akhir ini.
“Kerajaan wajib mempertahankan hutan dan tanah tinggi di negeri masing-masing. Hutan ini adalah sebagai kawasan tadahan air, jadi kalau hilang flora dan fauna ini, kita akan mengalami masalah yang dahsyat.
“Kita juga mesti faham negara kita mempunyai hujan sepanjang tahun, jadi jangan salahkan cuaca sekiranya berlaku banjir. Allah SWT sudah beri kita semua kesenangan seperti hutan untuk menjadi pendinding daripada apa-apa malapetaka.
“Tetapi apa yang terjadi sekarang ni, kerajaan-kerajaan hanya fikir cara untuk mendapatkan duit cepat iaitu melalui pembalakan, semua sama. Seperti di Selangor, ia lebih nak buat pembangunan sedangkan negeri tersebut mempunyai banyak bangunan kosong, jadi kenapa perlu buka hutan-hutan sedia ada,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Tragedi
Sebelum ini, negara digemparkan dengan pelbagai tragedi yang menimpa masyarakat setempat seperti tragedi Gunung Inas di Baling, Kedah sehingga mengorbankan tiga nyawa pada awal Julai lalu.
Di Gua Musang, Kelantan, penduduk Orang Asli sekitar Lojing juga diancam banjir lumpur dan tanah runtuh yang berpunca daripada ‘tangan-tangan rakus’ manusia mengaut keuntungan melalui penerokaan hutan secara besar-besaran.
Pada Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) di Selangor semakin mengecil apabila sudah 22 kali dinyah warta sejak 1924 dan kini hanya berbaki 2,139 hektar.
Shariffa Sabrina berkata, perubahan cuaca yang tidak menentu dan cuaca ekstrem yang melanda negara ada hubung kaitnmya dengan sifat tamak dan tidak tahu menghargai khazanah alam negara yang semakin sedikit.
“Dulu kita tahu bulan monsun bila, bila bulan panas tetapi sekarang sudah tidak menentu. Kadang-kadang satu hari, hujan sampai dua kali. Itulah perubahan cuaca ekstrem,” katanya.
Tambahnya, negara juga mengalami kerugian apabila dana yang sepatutnya disalurkan untuk menaik taraf kebajikan rakyat, terpaksa digunakan untuk membaiki infrastruktur yang rosak dan musnah akibat bencana alam
“Di situ kita sudah kerugian banyak dana, ia duit kita sebagai rakyat yang membayar cukai. Sikap tidak mahu berfikir panjang, mahu mengaut keuntungan besar dan terlampau taksub dengan pembangunan perlu dihentikan. Inilah kesalahan dan kelemahan kita,” ujarnya.- UTUSAN










