Video lucah: Kita akan panggil artis cilik jika ada laporan - Utusan Malaysia

Video lucah: Kita akan panggil artis cilik jika ada laporan

RINA Harun bersama sekumpulan kanak-kanak selepas pelancaran Kempen Banteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia memanggil seorang artis cilik yang mendakwa konon diajak bapanya menonton video lucah.

 Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru  mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

 “Jika betul ada, kita akan panggil dia dan bapanya untuk disiasat serta tidak teragak-agak ambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Banteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak di sini hari ini yang julung kali diadakan anjuran oleh kementerian berkenaan.

 Pada program itu, beliau memperkenalkan logo pokok kaktus dalam pasu sebagai lambang kerajaan dan komuniti bersama menangani isu seksual kanak-kanak melalui media sosial.

 Pelbagai acara diadakan dan bakal diperluaskan ke seluruh negara bagi tingkat kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai risiko bahaya eksploitasi seks menerusi laman siber.

 Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya mengakui kanak-kanak perempuan paling ramai menjadi mangsa penderaan seksual berdasarkan statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini.

 Katanya, menurut rekod JKM, sebanyak 67 peratus daripada 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan dari awal Januari sehingga Jun lepas adalah golongan perempuan.

 Sementara itu, Rina berkata, kerajaan turut mengesan  rakyat negara ini semakin suka berkongsi laman sesawang yang berkaitan bahan pornografi membabitkan golongan kanak-kanak.

 Beliau turut memetik maklumat pihak polis sendiri menunjukkan sejumlah 106,764 alamat protokol internet (IP) berdaftar di Malaysia membuat perkongsian pornografi kanak-kanak.

 “Angka dari tahun 2017 sehingga Ogos lepas menggambarkan perkembangan tidak sihat terutama kelompok kanak-kanak yang dianggap rentan,” katanya. – UTUSAN

Kata beliau, trend penyalahgunaan media atas talian untuk jenayah seksual kanak-kanak juga dilihat semakin melonjak terutama perkongsian dan capaian bahan pornografi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN