Uptown Taman Sena beroperasi Oktober ini - Utusan Malaysia

Uptown Taman Sena beroperasi Oktober ini

LAPORAN Utusan Malaysia mengenai cadangan mewujudkan uptown Taman Sena, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasar larut malam atau uptown Taman Sena di sini akan mula beroperasi Oktober ini selepas kerajaan negeri melantik operator untuk menguruskannya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman berkata, uptown tersebut akan beroperasi pukul 4 petang sehingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Khamis.

Katanya, pada hari Jumaat hingga Ahad pula, tapak perniagaan tersebut akan memberi laluan kepada persiapan peniaga Pasar Tani pada Sabtu dan Ahad.

“Sebenarnya, uptown ini beroperasi dengan beberapa peniaga kecil berniaga di tapak milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs).

“Namun, mereka berpindah dari tapak tersebut kerana didakwa tidak selesa dan mula berniaga di sepanjang jalan berhadapan rumah kedai berdekatan yang merupakan kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” katanya sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kawasan lapang di Taman Sena yang sebelum ini rancak dengan aktiviti perniagaan sesuai dibangunkan sebagai pasar larut malam atau ‘uptown’ Taman Sena sekali gus bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke negeri ini.

Justeru, kerajaan negeri digesa segera mewujudkan pasar larut malam tersebut seperti mana yang sudah lama dicadangkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil dilaporkan berkata, cetusan idea mewujudkan uptown Taman Sena itu dibangkitkan selaras inisiatif Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Satu Tarikan sebagaimana direncanakan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kata Asrul Nizan, impian rakyat negeri ini untuk memiliki uptown seperti di Shah Alam, Selangor atau Danau Kota di ibu kota dilihat terus sepi tanpa sebarang maklum balas.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, selepas mendengar permasalahan peniaga, MPK memberi kelulusan untuk mereka berniaga di sekitar kawasan tersebut buat sementara waktu.

Menurut beliau lagi, bagi isu pembangunan kontena berbumbung di tapak niaga milik PKENPs, masih terdapat isu yang belum diselesaikan dan akan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Memandangkan terdapat isu pembangunan di tapak milik PKENPs, kita meneruskan rancangan untuk membuka uptown Taman Sena bagi membantu peniaga-peniaga yang ingin mencari rezeki.

“Dengan pembukaan uptown ini, sekurang-kurangnya kita dapat membantu peniaga menambah pendapatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dahulu.

 Kewujudan uptown di pusat bandar Kangar itu, diharapkan ia mampu merancakkan sektor ekonomi serta pelancongan setempat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya