UMNO-Pas: `Jangan berunding dalam gelap’ - Utusan Malaysia

UMNO-Pas: `Jangan berunding dalam gelap’

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Semarak Merdeka di Kuala Sawah, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada sebarang rundingan oleh mana-mana kepemimpinan UMNO dengan Pas setakat ini seperti didakwa Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak mengetahui siapakah individu daripada UMNO yang dimaksudkan oleh Presiden Pas  sedang menjalankan rundingan dengan parti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya terdapat rundingan sekali pun antara kedua-dua parti itu, ia mestilah berjalan secara telus dan menerusi mesyuarat.

“Tidak tahulah beliau berunding dengan siapa, tetapi dengan saya memang tiadalah.

“Janganlah kita mahu mengadu domba parti orang lain, jaga parti sendiri. Saya jaga parti saya, beliau jaga parti beliau.

“Apa sahaja perundingan, mesti transparent (telus), jangan berunding dalam gelap, tidak boleh begitu,” kata beliau selepas menghadiri program Semarak Merdeka di Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, Kedah berkata, rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.

Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa, UMNO bukan hanya diwakili oleh presiden parti itu seorang  tetapi melibatkan sebuah organisasi.

Mengutuskan

Sementara itu, mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat hari ini, beliau tidak mengetahui sekiranya ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi mengutuskan mana-mana pemimpin parti itu untuk berunding dengan Pas.

“Kalau presiden sudah turunkan kuasa kepada sesiapa untuk berunding, ia dibuat secara terang dalam mesyuarat.  Misalnya saya, jawatankuasa perunding untuk kerusi, memang diputuskan dalam Majlis Tertinggi, saya (sebagai) Pengarah Pilihan Raya juga diputuskan.

“Jadi tiada pula dengar parti ataupun presiden, pernah bercakap mengutuskan mewakili UMNO berunding dengan Pas. Setakat hari ini saya tidak tahu, boleh jadi ada tetapi saya tidak tahu.

“Setakat ini yang saya tahu sebagai Timbalan Presiden, saya tidak pernah dengar presiden berbuat demikian untuk mengutus wakil khas untuk berunding,” tambah beliau lagi.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya