Tiga pekerja projek ternakan ikan dalam sangkar terselamat dalam

Tiga pekerja projek ternakan ikan dalam sangkar terselamat dalam kejadian ribut

KEADAAN rumah rakit projek ternakan ikan dalam sangkar mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di di Sungai Como, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU:  Tiga pekerja projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir di sini berdepan detik cemas setelah rumah rakit didiami mereka dilanda ribut dipercayai kepala angin, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu menyebabkan sebuah rumah rakit yang beroperasi kira-kira 10 tahun lalu mengalami kerosakan, selain tiga sangkar ikan tilapia dan patin turut musnah.

Ketua pekerjanya, Wan Mohd. Faizal Wan Ahmad, 28, berkata, kejadian ribut itu  berlaku sekelip mata ketika dia sedang berehat dan terpaksa menyelamatkan diri dengan menaiki bot laju ke kawasan selamat.

“Sewaktu berehat, tiba-tiba hujan renyai, tidak lama kemudian saya dikejutkan bunyi angin dan selepas itu menimpa kawasan ternakan ikan sangkar ini.

“Dalam suasana kelam kabut itu, saya terdengar bunyi dentuman setelah bumbung rumah rumah rakit diterbangkan angin. Kejadian berlaku tidak sampai 10 minit dan setelah semuanya reda, saya kembali semula melihat keadaan.

“Saya terkejut melihat rumah rakit yang mempunyai kemudahan enam bilik termasuk pejabat, stor, rumah pekerja dan pelawat rosak teruk. Tidak sangka semuanya musnah sekelip mata,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, kejadian ribut sering berlaku di kawasan itu, namun, insiden sebelum ini tidak menyebabkan kemusnahan harta benda khususnya rumah rakit yang menjadi tempat berehat serta bermalam para pekerja di lokasi ternakan ikan itu. 

Katanya lagi, jumlah kerugian akibat kejadian ribut itu  dianggarkan kira-kira RM35,000 dan dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.