Tiga PATI warga Myanmar kerja sangkar ikan ditahan 

Tiga PATI warga Myanmar kerja sangkar ikan ditahan 

TIGA lelaki warga asing yang bekerja di atas sangkar ikan di perairan Batu Maung, Pulau Pinang ditahan Maritim Malaysia petang semalam kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga lelaki warga asing yang bekerja di sangkar ikan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak  Mohamed berkata, anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas sangkar ikan PP-S72 di kedudukan 0.7 kilometer tenggara Batu Maung kira-kira pukul 6.05 petang semalam ketika melaksanakan OP PERTIWI.

Katanya, pemeriksaan mendapati, lesen kultur laut sangkar tersebut telah tamat tempoh dan disyaki lesen palsu. 

”Tiga pekerja sangkar yang masing-masing berumur 24 hingga 26 tahun adalah warga Myanmar dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga pekerja sangkar itu kemudian ditahan dan dihantar ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

”Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen sangkar ikan tamat tempoh,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia menasihati pemilik sangkar ikan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut  atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN