KUANTAN: Blogger yang juga aktivis masyarakat, Mohd. Shukri Mohd. Ramli memaklumkan dihubungi tiga wakil parti politik yang mempelawanya menyertai mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini.
Tiga parti politik berkenaan adalah daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Mohd. Shukri yang turut terkenal dengan gelaran Cucu Mat Kilau (CMK) berkata, dia belum membuat keputusan parti politik mana yang akan disertainya.
“Buat masa ini saya belum buat keputusan, tapi tidak lama lagi selesai dan saya fikir peluang untuk menang kali ini adalah lebih cerah.
“Sebelum ini saya banyak bertanding sebagai calon bebas, tapi saya dapati ia tidak boleh pergi jauh, perlu sertai parti tertentu juga kalau nak menang,
“Sama ada sertai parti dalam gabungan PH atau PN, tapi bukan UMNO dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya kenapa tidak menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA, Mohd. Shukri berkata, keputusan muktamad belum dibuat, jadi dia bebas mempertimbangkan gabungan parti politik mana yang paling sesuai dengan agenda perjuangannya.
“Saya baru-baru ini bertemu dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali, mereka ada mempelawa saya bersama mereka.
“Kemungkinan itu masih ada, semua pilihan masih ada dan apabila sampai masa, saya akan umum,” katanya.
Mohd Shukri dalam pada itu turut memberitahu, dia sedang memilih kerusi yang bakal ditandingi pada PRU15.
Menurutnya, sasaran utamanya adalah tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) antaranya Teruntum, Semambu dan Pulau Manis.
“Saya pilih kerusi DUN sebab lebih mudah nak suarakan masalah rakyat Pahang, tapi kalau ditawarkan juga (bertanding) kerusi Parlimen, saya tidak menolak,” katanya.
Mohd. Shukri sebelum ini adalah ahli PKR sebelum mengumumkan keluar parti itu pada Februari 2011.
Dia pernah bertanding pada PRU12 di kerusi DUN Kemayan, dalam Parlimen Bera; kerusi DUN Semambu, kawasan Parlimen Indera Mahkota (PRU13) dan PRK DUN Chini pada 2020.- UTUSAN










