PUTRAJAYA: Tiada campur tangan dalam penggunaan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) Online atau wujudnya ‘orang dalam’ digunakan sebagai jalan pintas istimewa kepada pelajar tertentu untuk masuk ke universiti awam.
Itu penegasan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak ekoran kegagalan sejumlah pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf mendapat tempat ke universiti bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.
Beliau berkata, antara punca kegagalan mendapat tempat adalah disebabkan persaingan terlalu tinggi terutama bagi program kompetitif walaupun mendapat nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 mata penuh.
“Kalau nak kata dapat CGPA 3.75 pun tak dapat tempat, ia disebabkan kompetitif terlalu tinggi, sukar juga nak kata ada ‘kabel’ kerana dalam sistem kita memang ditawarkan berdasarkan sistem.
“Pihak UPU sebelum nak keluarkan tawaran kemasukan, semua naib canselor ‘berkampung’ empat hari untuk memastikan sistem kita tidak ada cacat cela yang menyebabkan kegagalan. Jadi saya menafikan perkara ini,” katanya dalam taklimat media khas di sini hari ini. –UTUSAN