The Rex: Robot pintar pertama bantu cuci KLIA2 - Utusan Malaysia

The Rex: Robot pintar pertama bantu cuci KLIA2

THE Rex mampu membersihkan KLIA2 dengan cekap dan menjimatkan tenaga manusia secara optimum. - Foto ihsan MAHB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mereka yang julung kali datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini pasti akan teruja melihat robot pintar bekerja.

Robot yang diberi nama The Rex ini ditugaskan untuk membersih lantai.

Menurut hantaran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam laman sosialnya, robot pintar pertama kerja pembersihan ini sudah pun memulakan tugas sejak 12 September lalu.

“Ia berupaya bekerja meliputi kawasan yang seluas 4,032 meter persegi dalam satu jam dan mampu bertugas sehingga 10 jam dengan hanya dijana kuasa bateri,” kata operator KLIA2 itu.

Uniknya ujar MAHB, The Rex bukan sekadar dapat menyapu lantai, malah, jenama Lionsbot itu boleh mengemop dan menyental permukaan lapisan jubin, marmar, granit dan sebagainya.

Dengan harga RM3 juta, ia juga ada ciri kawalan secara manual atau automatik selain mod pembersihan pantas ‘super’ dengan liputan keluasan satu padang bola dalam masa dua minit.

The Rex dibekalkan firma penyedia pengurusan fasiliti tempatan, Sinar Jernih Sdn. Bhd. Yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor dengan berpengalaman luas sejak beroperasi pada 1995.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Said Osman menjelaskan, syarikat itu berhasrat dengan penggunaan robot tersebut mampu menjimatkan lagi kos tenaga manusia sebanyak 20 peratus.

Bahkan, teknologi robot berkenaan dalam jangka masa panjang mampu mengurangkan lagi kebergantungan kepada perkhidmatan pekerja warga asing.

“Ini kali pertama mesin canggih sebegini digunakan di KLIA2 dan kami merancang akan dapat diperluaskan dengan rakan kongsi dari Singapura untuk pelbagai lagi operasi lain,” katanya.
Robot tersebut memiliki ketinggian 1.47 meter dengan lebar 0.8 meter dan panjang 1.6 meter serta beratnya 550 kilogram di samping keupayaan pemberusan lantai maksimum 80 kilogram.

Digerakkan dengan tenaga bateri 36 volt, jentera ini yang ada muatan tangki 140 liter itu juga mampu bergerak ketika bertugas pada kelajuan 1.4 meter sesaat dan kebisingan 65 decibel.

KLIA2 yang berkeluasan 257,000 meter persegi itu mula dibuka pada 2013 lalu dengan berkapasiti 45 juta penumpang setahun sebagai terminal khusus untuk penerbangan kos rendah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya