HULU TERENGGANU: Keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir lokasi tarikan pelancong di Terengganu ‘merosot’ apabila airnya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.
Jika perkara itu tidak ditangani, Tasik Kenyir akan hilang ‘serinya’, seterusnya hilang tarikan sebagai kawasan pelancongan.
Keadaan tersebut membimbangkan pengusaha bot dan penduduk kerana jika dibiarkan berterusan ia akan menjejaskan industri pelancongan di Tasik Kenyir.
Mereka berkata, kawasan air terjun tersebut yang hanya boleh diakses menggunakan bot sangat mempesonakan namun kini nasibnya akan sama seperti Tasik Chini di Pahang jika terus dibiarkan tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Kemat di sini, Kamaruddin Ali, 61, berkata, beliau difahamkan aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran air terjun itu dijalankan sejak tiga tahun lalu dengan kelulusan kerajaan negeri.
Menurut beliau, aktiviti pembalakan tersebut bermula di hutan berdekatan kampung berkenaan sebelum kerja-kerja diperluaskan dan kini menghampiri kawasan berhampiran air terjun berkenaan.
“Penerokaan dan penebangan balak di kawasan tersebut tidak dikawal sehingga menjejaskan Air Terjun Sungai Lasir sampai tercemar dan keruh.
“Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) sepatutnya memastikan lokasi di hulu anak sungai yang mengalir ke Sungai Lasir tidak dilakukan pembalakan untuk mengelakkan pencemaran di sungai berkenaan.
“Difahamkan air di sungai itu mulai keruh sejak kerja-kerja pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak yang merintasi anak sungai dimulakan kira-kira tiga tahun lalu.
“Namun, keadaan air di sungai itu bertambah keruh setelah aktiviti pembalakan mula dilakukan secara tidak terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Air terjun
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati air di Tasik Kenyir yang berkeluasan kira-kira 100 meter dari air terjun itu turut keruh sehingga menjejaskan aktiviti pengunjung untuk mandi-manda, berkayak dan memancing.
Malah terdapat sisa-sisa kayu di dalam tasik berdekatan air terjun tersebut dipercayai dihanyut air terjun dari kawasan hutan berdekatan.
Selain itu, Kamaruddin berkata, walaupun syarikat yang menjalankan pembalakan itu menutup tanah dengan kanvas untuk mengelakkan berlaku hakisan di tapak pembinaan jalan hutan, namun air sungai tersebut tetap keruh terutamanya selepas hujan lebat.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini yang sering hujan mengakibatkan air sungai sentiasa keruh,” ujarnya
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya telah mencadangkan supaya aktiviti pembalakan di hutan tersebut dikawal supaya kesan terhadap alam sekitar terkawal atau pada tahap minimum.
Malah katanya, pada program itu, pihaknya juga mencadangkan supaya tiada lagi pembukaan kawasan pembalakan baharu berdekatan Tasik Kenyir selepas ini.
Sementara itu, seorang pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Mamat Ramli Embong, 75, berkata, dia bimbang dengan industri pelancongan terutamanya dalam kalangan pengusaha rumah bot dan bot laju sekiranya kawasan pelancongan Air Terjun Sungai Lasir tercemar lebih serius selepas ini.
Menurutnya, kawasan air terjun tersebut merupakan antara tarikan utama pengunjung untuk menerokai keindahan di Tasik Kenyir dengan menggunakan perkhidmatan rumah bot dan bot laju.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak lagi menolak kemungkinan pelancong tidak berminat lagi mengunjungi kawasan air terjun tersebut sekiranya keindahannya telah musnah akibat aktiviti pembalakan tersebut.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat memastikan aktiviti pembalakan berhampiran Air Terjun Sungai Lasir dilakukan secara kawalan untuk memulihara keindahan Tasik Kenyir,” ujarnya.- UTUSAN











