fbpx

Tajuddin dakwa majoriti mahu beliau pertahan kerusi Pasir Salak

TAJUDDIN Abdul Rahman

IPOH: Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan majoriti ahli parti bahagian tersebut mahu beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tajuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak berkata, perkara berkenaan turut mendapat sokongan majoriti ahli-ahli cawangan Bahagian Pasir Salak.

“Pasir salak seratus peratus sokong saya sebagai ahli parlimen dan jawatankuasa bahagian mencalonkan nama saya di mana cawangan-cawangan juga menyokong dengan majoriti besar masih sokong saya menjadi ahli parlimen.

“Saya tidak mahu dikatakan masuk bakul angkat sendiri tetapi anda boleh menilai dengan fakta di mana kelemahan saya sebagai ketua bahagian selama ini,” kata beliau pada sesi beramah mesra bersama media di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, meskipun beliau digugurkan daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), itu tidak menghalang ahli UMNO Bahagian Pasir Salak untuk mencalonkan beliau bertanding sebagai Ahli Parlimen sepenggal lagi.

Vokal

“Gugur tidak ada masalah, saya vokal sangat dan tidak disenangi dan digugurkan tetapi tiada masalah saya tidak kecewa dan saya masih dengan UMNO kerja keras jaga bahagian saya.

“Jangan lupa semak rekod saya 50 tahun dalam UMNO kerana tidak ramai tahu rekod karier politik saya dan kalau tahu anda akan punya persepsi berbeza.

“Pimpinan saya sebagai ketua bahagian solid tidak berpecah dan ada anda dengar kami berpecah? Tiada sebab, kami bersatu dan untuk pengetahuan semua pencalonan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan Sungai Manik 100 peratus tiada pertikaian,” katanya.

Tajuddin turut mengesahkan Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr. Wan Noorashikin Wan Nordin dicalonkan UMNO bahagian untuk kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah pada PRU -15.

Katanya, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairul Azwan Harun juga turut dicalonkan oleh UMNO bahagian untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Manik.

“Bahagian mahu Dr. Wan sebagai calon Kampung Gajah kerana dia menjalankan kerja yang bagus, rakyat terima dia kenapa nak ganti dia sebab kita bertanding nak menang.

“Timbalan saya Azwan Bro (Khairul Azwan) juga dicalonkan di Sungai Manik dan tidak ada pertikaian saya sudah tanya semua cawangan dalam perjumpaan dan mereka semua setuju,” katanya. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN