SEBUT Muar, ramai yang terbayangkan keenakan mi bandung dan keunikan masyarakatnya yang menikmati hidangan sate pada waktu pagi.
Dalam arena politik Johor, Muar selalu menjadi tumpuan, khususnya dengan pelbagai ‘warna-warni’ melibatkan Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dianggap pemimpin muda berpotensi, apatah lagi selepas berjaya menumbangkan penguasaan UMNO sejak sekian lama dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Razali Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), apatah lagi berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan, ‘aura’ Syed Saddiq terus melonjak apabila dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan iaitu menteri Kabinet paling muda ketika itu.
Ramai yang mengaku kehebatan Syed Saddiq kerana Presiden parti Muda ini mampu menguasai dan menjuarai media sosial. Impaknya, ramai golongan muda melihat beliau yang boleh dianggap ‘baby’ kesayangan parti Bersatu suatu ketika dahulu merupakan ikon bagi generasi muda.
Namun, sejauh mana pencapaian sebenar beliau sebagai menteri dan Ahli Parlimen? Biasa dalam politik, ada yang suka, tidak kurang yang membenci serta wujud golongan mengkritik. Itu asam garam ‘seni’ politik.
Apa pun respons dan penerimaan rakyat, realiti dan faktanya, Syed Saddiq telah memenangi kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 6,953 undi. Persoalannya, mampukah pemimpin muda ini mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
DIBANTU
Jika ada menganggap kemenangan beliau ‘dibantu’ oleh tsunami politik pada PRU14, namun PRU15 merupakan ‘ujian’ sebenar bagi Syed Saddiq.
Namun, tidak bermakna Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Muar dengan mudah walaupun banyak ‘kedengaran’ suara penduduk setempat menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pemimpin Muda itu.
Timbul persoalan siapa akan dipertaruhkan BN membawa misi besar merampas kerusi itu? Adakah Razali selaku Ketua UMNO Bahagian Muar masih diberi kepercayaan atau perlu pemimpin baharu bagi mendepani Syed Saddiq. Jika UMNO ingin meremajakan parti, inilah peluang terbaik untuk menonjolkan pemimpin muda.
Berdasarkan cakap-cakap politik akar umbi, nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latif, 42, turut disebut-sebut mampu menggugat Syed Saddiq di Muar.
Jurutera yang bertugas dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan merupakan anak jati Maharani ini turut berpotensi untuk ditampilkan kerana mempunyai hubungan baik dan disukai oleh golongan muda. Jika BN ingin calon muda dan baharu, Mohd. Helmy wajar dipertimbangkan untuk menyaingi Syed Saddiq.
patah lagi, baru-baru ini ada khabar angin mengatakan Razali mungkin diberi tugas lebih besar, iaitu bertanding menentang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh.
Andai pertembungan di kerusi Parlimen Muar melibatkan tiga atau empat penjuru, peluang BN untuk merampas semula kawasan tersebut lebih cerah.
Namun, saingan pasti sengit kerana jentera parti Muda akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan presiden mereka. Mereka pasti tidak rela Syed Saddiq tewas kerana akan memberi impak besar terhadap Muda, sama ada parti itu mampu terus ‘hidup’ atau tersungkur separuh jalan.- UTUSAN










