PETALING JAYA: Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dicadang menggunakan sistem satu saluran seperti A Level menggantikan mekanisme sedia ada yang dianggap banyak kelemahan dan tidak lagi sesuai dilaksanakan pada masa sekarang.
Sistem A Level dipakai di negara-negara maju seperti di United Kingdom (UK) sebagai ukuran ke universiti berbeza di negara ini yang sarat dengan saluran seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Melalui mekanisme pemilihan sekarang, risiko menyebabkan pelajar cemerlang terlepas pandang adalah tinggi.
Malah, jika mendapat tawaran sekalipun kursus ditawarkan tidak setimpal kelayakan akademik, menyebabkan mereka kurang minat meneruskan pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sistem kemasukan sedia ada perlu ditukar dengan menggunakan satu saluran sahaja seperti amalan negara maju antaranya UK yang mengukur pencapaian A Level untuk ke universiti.
Katanya, STPM boleh digunakan sekiranya mahu mengunapakai sistem baharu kemasukan ke universiti memandangkan peperiksaan itu setanding peperiksaan antarabangsa.
“Kalau di UK, hanya peperiksaan A Level digunakan untuk masuk universiti, tetapi di Malaysia terlalu banyak peperiksaan sebagai syarat ke universiti. Jadi kita perlu ada single entry system (satu sistem tunggal) untuk ke peringkat pengajian tinggi.
“Idea ini sebenarnya pernah dirancang pada 2019 sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan saluran kemasukkan tunggal ke institusi pengajian tinggi dengan sepatutnya dilaksanakan pada 2021 namun terhenti sebaik sahaja pertukaran kerajaan pada 2020.
“Kita terlalu banyak peperiksaan untuk dijadikan satu sistem ke universiti, namun perkara ini sudah ketinggalan dan perlu diubah dengan menggunakan satu sistem sahaja,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan rungutan segelintir pelajar cemerlang menyalahkan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) yang didakwa tidak adil dalam memilih calon daripada pelbagai peringkat termasuk lepasan asasi, matrikulasi, STPM dan diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam.
Hal ini terdapat dalam kalangan mereka memperoleh keputusan cemerlang, sebaliknya gagal mendapat tempat di mana-mana IPTA.
Dalam pada itu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam turut mencadangkan sistem UPU dirombak dan menggantikannya dengan sistem pengkalan data menggunakan konsep kepandaian buatan (artificial intelligence) dan analitik mendalam (deep analytics) dengan mengikut bakat pelajar.
Katanya, ia akan digunakan untuk membimbing pelajar mengambil jurusan yang sesuai dengan potensi dan bakat mereka, sekali gus menjamin peluang pekerjaan di masa depan
“Idea ini pernah dirintis melalui penubuhan Jawatankuasa Data Raya Kementerian Pendidikan pada 2019. Namun sehingga kini, saya tidak tahu apa kesudahannya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah meminta pihak universiti memberi peluang kedua kepada pelajar cemerlang khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dengan kursus dimohon.
Katanya, kebanyakan pelajar yang gagal mendapat tempat disebabkan dua faktor iaitu gagal memilih kursus dan kuota pelajar sudah penuh.
Justeru beliau meminta universiti terlibat untuk menghubungi pelajar terlibat untuk berbincang sama ada dengan menawarkan kursus sama atau kursus yang bersesuaian.
“Kita jangan sesekali ketepikan mereka kerana perkara ini boleh menjejaskan potensi dan bakat masa depan negara. Apatah lagi mereka dalam kalangan anak-anak B40, yang perlu dibantu. Beri peluang kedua kepada mereka dengan harapan para pelajar mempunyai peluang lebih cerah pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










