SHAH ALAM: Dakwaan kerajaan negeri mengatakan mereka akan disaman sehingga RM1 bilion jika membatalkan nyah warta Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) disifatkan tidak berasas kerana siar warta tersebut dibuat pada 5 Mei lalu.
Oleh demikian, sebarang perjanjian atau kebenaran daripada kerajaan negeri yang diberikan kepada syarikat pemilik lot tanah atau pemaju dalam 406 hektar kawasan di sana didakwa tidak sah.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, kerajaan negeri sendiri tidak menjelaskan asas ugutan saman sehingga RM1bilion tersebut sedangkan daripada 406 hektar tanah, hanya Kompartmen 35 berdekatan Persiaran Mokhtar Dahari yang sedang dibersihkan.
“Kerajaan negeri ataupun Menteri Besarnya (Datuk Seri Amirudin Shari) sendiri gagal membuktikan apa yang dikatakan. Kenyataan mengatakan ada perjanjian yang mana kerajaan negeri berisiko disaman sehingga RM1 bilion, apa perjanjiannya? Dengan siapa?
“Perjanjian sebelum siar warta sepatutnya tidak sah. Sebab kerajaan negeri baru menghabiskan proses penyahwartaan. Maknanya kerajaan tak perlu takut? Itulah masalahnya, kami tak tahu daripada kenyataan Menteri Besar, jumlah RM1 bilion daripada mana?” soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Malah, beliau menjelaskan, kenyataan kerajaan negeri menyebut walaupun pelan warta (PW) pada 2006 dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2000, ia hanya berkuat kuasa apabila nyahwarta disiarkan.
“Kalau sudah nyah warta pada 2006, kenapa mereka nyah warta semula pada Mei 2022. Hanya selepas penyiaran warta itu dibuat, baru (proses) nyah warta itu selesai.
“Jadi, pemilikan tanah yang dikeluarkan oleh jabatan (berkaitan) tanah, sepatutnya tidak sah. Ini dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri sendiri, sebab siar warta itu dilakukan pada 5 Mei 2022,” jelasnya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Negeri Selangor berisiko disaman RM1 bilion susulan keputusan dibuat bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo membabitkan isu HSKBC.
Dalam pada itu, Damien Thanam memberitahu pihaknya mengesan berlaku pelanggaran terhadap perintah injunksi sementara yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Ogos lalu.
Kami sedang failkan kes penghinaan mahkamah dengan bukti ada kerja-kerja tanah masih dilakukan walaupun kawasan itu sudah menjadi hutan simpan kekal iaitu Kompartmen 35.
Mereka ada kira-kira 12 jengkaut, di dalam, sekurang-kurangya dua lori pembawa batu besar, lima atau enam pacuan empat roda, pekerja sekurang-kurangnya 10 orang dan banyak kenderaan keluar masuk,” ujarnya. –UTUSAN