Saman Azmin: 10 pengundi Parlimen Gombak gagal merayu -

Saman Azmin: 10 pengundi Parlimen Gombak gagal merayu

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sepuluh pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak gagal mengembalikan saman terhadap wakil rakyat mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Perkara itu ditentukan berikutan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan mereka untuk mendapat kebenaran merayu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Rhodzariah Bujang tidak membuat sebarang perintah kos atas alasan kes itu melibatkan kepentingan awam.

Hakim Azahar ketika mengumumkan keputusan itu berkata, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pengundi-pengundi didapati gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

Dalam prosiding itu, peguam K. Shanmuga mewakili 10 pengundi berkenaan manakala Mohamed Azmin diwakili oleh Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Turut mewakili pengundi-pengundi, peguam-peguam A. Surendra Ananth dan Yohendra Nadarajan manakala Nurul Najwa Zainuddin juga mewakili Mohamed Azmin.

Semua pengundi berkenaan memohon kebenaran mahkamah tertinggi negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 April lalu yang memihak kepada Ahli Parlimen Gombak itu dan membatalkan saman tersebut.

Dalam notis usul yang difailkan Mei lalu, pengundi mengemukakan sembilan persoalan undang-undang untuk penghujahan dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, pemohon mesti meyakinkan mahkamah bahawa persoalan undang-undang adalah baharu, mempunyai kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman itu menyebabkan beliau merayu ke Mahkamah Rayuan. -UTU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.