RUU Sumbangan Politik dibentang November ini - Utusan Malaysia

RUU Sumbangan Politik dibentang November ini

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik akan dibentangkan di Mesyuarat Parlimen bagi Bacaan Pertama pada awal November 2022 dan Bacaan Kedua pada hujung November 2022. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan pada kali ini yakin dan kekal komited bahawa undang-undang sumbangan politik ini dapat direaliasikan. 

Katanya, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) juga sudah menyediakan skop dan parameter dasar yang digariskan dalam RUU ini, malah, Jabatan Peguam Negara sedang menelitinya sebelum ia dimuktamadkan.

“Satu sesi libat urus bersama wakil Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diadakan pada 28 September ini bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara dasar bagi RUU Sumbangan Politik yang sedang digubal.

“Selain itu, RUU ini juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti IDEAS, BERSIH serta pakar akademik. 

“Malah, beberapa sesi perbincangan dalaman juga dibuat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperincikan dasar penggubalan RUU ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Wan Junaidi berkata, inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang yang mengawal selia dana politik pernah diusahakan kerajaan pada 2015 melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP). 

Namun, katanya, hasrat untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengawal selia dana politik tidak terlaksana.

“Cadangan kerangka perundangan bagi RUUSumbangan Politik juga pernah dikemukakan kerajaan pada November 2019 kepada Parlimen untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang. Namun, hasrat ini juga tidak kesampaian,” katanya. 

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggubalan RUU Sumbangan Politik akan dikawal selia entiti bebas dikenali Pengawal Selia Sumbangan Politik peringkat Persekutuan dan negeri.

Pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU itu, sebelum dibentangkan untuk bacaan pertama pada sesi Dewan Rakyat akan datang. 

Kabinet sebelum ini bersetuju untuk menggubal RUU Berkaitan Sumbangan Politik yang akan menyaksikan Pengawal Sumbangan Politik dijadikan entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya