Rohana jadi Anak Emas UTeM - Utusan Malaysia

Rohana jadi Anak Emas UTeM

ROHANA Abdullah menerima replika cek program Anak Emas UTeM disampaikan Noraini Ahmad dan Sulaiman Md. Ali di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gadis Melayu yang dijaga ibu angkat berbangsa Cina, Rohana Abdullah, 22, berazam ingin mencapai keputusan cemerlang selepas mengikuti Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semester pertama tahun ini.

Rohana berkata, dia mahu melakar pencapaian cemerlang dalam jurusan berkenaan sebagai membalas jasa ramai pihak yang prihatin terhadap kisah hidupnya bersama ibu angkat berlainan agama, Chee Hoi Lan, 84, yang menjaganya sejak lahir.

Dia antara tiga pelajar yang dipilih menyertai Program Anak Emas UTeM dengan mendapat pembiayaan pembelajaran dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian berjumlah RM24,010.00.

“Alhamdulillah, Allah memberi rezeki luas kepada saya, bukan sahaja mendapat melanjutkan pengajian, malah, menerima pembiayaan penuh sepanjang tempoh pengajian. Saya tidak lagi perlu fikir hendak bayar yuran dan perbelanjaan, cuma, saya mahu fokus untuk menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang serta menjadi pelajar terbaik.

“Ini adalah sebagai menghargai jasa semua pihak yang prihatin dan membantu saya serta ibu angkat dan seboleh-bolehnya saya mahu memperoleh sijil dekan setiap semester,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima pembiayaan disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Program tersebut memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga tidak bernasib baik untuk melanjutkan pengajian di UTeM dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya Yayasan Tun Canselor.

Selain Rohana, dua lagi pelajar yang dipilih ialah Siti Fatimah Abdullah menerima RM35,172 dan Nurul Syafiqah Nor Hasyimi mendapat RM31,152.

Sebelum ini, kisah Rohana yang dijaga ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan tular dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Rohana, hampir setiap minggu dia akan pulang ke Kuala Lumpur bertemu Hoi Lan yang kini hidup seorang diri di rumah.

“Saya mahu Laoshi gembira dengan kejayaan saya nanti dan apabila sudah berjaya giliran saya pula mahu menjaganya, sebagai membalas jasa dia membesarkan saya dengan pelbagai rintangan dihadapi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya