PUTRAJAYA: Sejumlah RM54.7 bilion nilai harta diselesaikan dengan diagihkan kepada waris menerusi Bahagian Pembahagian Pusaka Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2016 hingga tahun lalu.
Agihan harta pusaka itu melibatkan harta tidak boleh alih seperti tanah kosong, kebun atau ladang. Namun jika waris berkenaan turut memiliki tambahan harta boleh alih seperti wang dan kenderaan, JKPTG turut boleh menguruskan aset tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JKPTG, Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, jumlah itu meliputi 80 peratus atau 290,265 daripada 349,530 permohonan yang diterima dalam tempoh tersebut dengan penyelesaian tertinggi pada tahun 2018 bersamaan RM10.9 bilion nilai harta.
Ini bermakna masih terdapat 59,365 kes permohonan pengurusan pembahagian harta pusaka tertunggak atau masih dalam proses mengambil kira kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kes tidak dapat dibicarakan.
Kerana itu, hanya sejumlah 41,113 permohonan berjaya diselesaikan pada tahun 2020 meliputi nilai harta sebanyak RM8.8 bilion, manakala pada tahun 2021, ia meliputi 25,988 kes dengan nilai RM4.6 bilion.
Beliau berkata, ketidakfahaman masyarakat tentang kaedah dan prosedur serta perbalahan dalam kalangan keluarga menjadi penyumbang kepada tunggakan kes permohonan tidak dapat diselesaikan.
Situasi semakin sukar apabila keengganan waris tidak memberikan kerjasama untuk menghadiri perbicaraan dan tidak memberi persetujuan dalam membahagikan harta menyebabkan kes terpaksa ditangguh.
Acuh tidak acuh
“Sikap acuh tidak acuh atau sambil lewa masyarakat dalam pengurusan harta pusaka milik menjadi punca kelewatan untuk diselesaikan. Permohonan pusaka dibuat jika harta tersebut hendak dijual atau berlaku pengambilan balik tanah.
“Pada masa ini banyak masalah berlaku seperti sukar untuk mendapatkan dokumen serta waris bertambah disebabkan kematian berlapis dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.
Muhammad Azmi berkata, tempoh untuk proses pengurusan harta pusaka sebenarnya boleh diselesaikan dalam tempoh empat bulan bermula daripada penyerahan borang permohonan dan dokumen sokongan bagi kes yang tidak bermasalah.
Namun, beliau memberitahu, kebanyakan waris tidak memahami hukum faraid menyebabkan penyelesaian pusaka menjadi rumit dan lambat.
Jelas beliau, kefahaman waris dalam hukum faraid memainkan peranan penting kerana setiap waris memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dalam menyelesaikan pembahagian pusaka secara segera selepas berlaku kematian.
Pada masa sama, Azmi turut membangkitkan kekangan jumlah pegawai dan kakitangan terhad menyebabkan banyak kes tidak dapat diselesaikan mengikut piagam Bahagian Pembahagian Pusaka.
Permohonan
Bagaimanapun, permohonan pembahagian pusaka sentiasa diterima walaupun dalam tempoh PKP, namun perbicaraan tidak dapat dijalankan menyebabkan kes tertunggak semakin bertambah.
“Dijangkakan hujung tahun ini Bahagian Pembahagian Pusaka, JKPTG mendapat 100 kakitangan tambahan yang dilantik secara kontrak perkhidmatan bagi menangani isu tunggakan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai harta pusaka beku, Muhammad Azmi berkata, harta milik si mati yang belum diuruskan dan diwarisi kepada waris-waris yang berhak tidak boleh ditukar milik atau dicairkan selagi belum mendapat surat kuasa tadbir daripada agensi yang berkuat kuasa menurut perundangan di negara ini.
Beliau turut menyanggah pandangan sesetengah pihak bahawa jumlah harta beku yang sebahagian besarnya milik orang Islam mencecah RM70 bilion.
Katanya, jumlah itu sesuatu tidak masuk akal jika diukur menerusi nilai purata satu kes diterima bahagian ini sekitar RM170,000 hingga RM250,000 dan sekiranya digandakan mengikut jumlah yang tertunggak sekitar 55,000 kes, nilainya baru mencecah RM13.7 bilion.
“Harta beku ini masih didaftar atas nama si mati selepas berlaku kematian seseorang pemilik harta. Contohnya harta tak alih si mati tanah atau rumah, harta alih seperti akaun bank, kenderaan, saham dan sebagainya.
“Setiap pemilikan harta individu merupakan hak mutlak pemiliknya yang mana hanya pemilik mempunyai penguasaan dan privasi maklumat mengenai harta mereka,” katanya.
Perancangan
Justeru, dalam hal ini katanya, perancangan harta oleh pemilik sebelum berlaku kematian amat penting untuk dititik beratkan.
Pemilik harta digalakkan memberitahu waris-waris senarai harta mereka agar memudahkan waris untuk membuat permohonan pembahagian pusaka jika berlaku kematian kepada pemilik harta.
Berhubung cadangan penubuhan Jabatan Pembahagian Pusaka, beliau berkata, ia tidak pernah dibawa ke Parlimen secara langsung, namun perkara ini pernah dicadangkan di Dewan Rakyat semasa perbahasan ke atas Rang Undang-undang Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 yang dibentangkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada 26 Oktober 2021.
Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 diluluskan Parlimen secara keseluruhannya memperluaskan peranan dan bidang kuasa Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah JKPTG dengan pindaan melibatkan peningkatan nilaian bidang kuasa bahagian ini daripada RM2 juta kepada RM5 juta.
Ini termasuk memperluaskan bidang kuasa harta pusaka kecil meliputi semua jenis harta alih dan tak alih; pertukaran penggunaan nama perjawatan daripada Pentadbir Tanah kepada Pegawai Pembahagian Pusaka selain pelantikan Pentadbir Sementara dengan tujuan mendapat maklumat berkenaan harta alih si mati.
“Secara umumnya cadangan Penubuhan Jabatan Pembahagian Pusaka adalah baik. Namun perkara ini memerlukan penelitian, penyelarasan dan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penubuhan jabatan berkenaan benar-benar menjadi pusat sehenti bagi pengurusan pusaka di negara ini.
“Pada masa ini terdapat tiga badan yang bertanggungjawab dalam pengurusan pusaka iaitu Bahagian Pembahagian Pusaka, JKPTG; Amanah Raya Berhad dan mahkamah. Ketiga-tiga badan ini mempunyai bidang kuasa yang berbeza,” katanya. – UTUSAN










