Rasuah orang politik kritikal, calar imej Malaysia - Utusan Malaysia

Rasuah orang politik kritikal, calar imej Malaysia

Rasuah membabitkan ahli politik memburukkan imej Malaysia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan dan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sangat kritikal sekali gus menyebabkan skala indeks rasuah di Malaysia terus meningkat sekali gus dilabel berada pada skala bahaya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, secara jelas, gejala rasuah di Malaysia ketika ini diukur berdasarkan kes rasuah pemimpin politik.

Beliau berkata, terdapat banyak kes dan tuduhan di mahkamah ketika ini membabitkan orang politik dan ia mendapat perhatian masyarakat dan dunia sekali gus memberi imej buruk kepada negara.

“Walaupun Malaysia menduduki tempat kedua terbaik dari segi pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di belakang Singapura namun, kita tidak boleh menafikan bahawa kes rasuah di Malaysia masih tinggi.

“Saya bersetuju, memang sekarang skala rasuah di Malaysia sangat bahaya. Jadi, saya berharap semua pihak berikan kerjasama untuk perangi rasuah dengan lebih berkesan sebelum ia menjadi barah yang tidak dapat diubati,” kata beliau.

POLITIK

Menurut Jais, trend rasuah di Malaysia kini dilihat diukur berdasarkan kes membabitkan pemimpin politik tanpa mengira parti dan kes-kes ahli politik itu memberi kesan buruk kepada negara.

“Untuk kes-kes lain, saya fikir ia masih terkawal dan mampu diuruskan dengan baik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta diserahkan kepada agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai amalan rasuah di negara ini yang berada pada skala bahaya berdasarkan laporan kepada SPRM, teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kelmarin, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua pihak tidak boleh memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi atau helah mahu menidakkan kewujudan gejala rasuah di depan mata.

Mengulas lanjut, Jais berkata, Pusat Governans, Intergriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) perlu melakukan kajian bagi mengkaji rasuah dalam politik kerana ia kini menjadi senjata dan ‘pembunuh’ utama karier pemimpin politik termasuk menjatuhkan kerajaan.

“Apabila kita ada data, barulah kita dapat tahu keadaan semasa tentang rasuah babitkan pemimpin politik di Malaysia…Adakah itu hanya strategi jatuhkan mereka atau bagaimana. Senario ini dilihat semakin menjadi-jadi sekarang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN