fbpx

Rasuah: Bekas YDP luluskan projek didakwa esok

ktmb

PETALING JAYA: Seorang lagi bekas yang dipertua (YDP) majlis perbandaran akan didakwa esok di mahkamah berhubung isu menerima rasuah terhadap pemberian projek kerajaan Selangor kepada kartel-kartel tertentu.

Rentetan pertuduhan ini menjadikan sebanyak lima individu telah dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan yang dijalankan. 

Satu sumber mendedahkan, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas SPRM mendapat izin untuk mendakwa individu tersebut yang berkhidmat di salah satu daerah dalam negeri Selangor.

“Tertuduh yang berusia 48 tahun itu dipercayai telah menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya,” katanya secara ringkas.

Pada 23 September lalu, dua bekas YDP iaitu YDP Hulu Selangor dan YDP Kuala Langat termasuk seorang bekas Timbalan YDP Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan menerima rasuah.

Difahamkan, kesemua suspek menerima wang, tiket kapal terbang, basikal berjenama, wang untuk membeli kereta, telefon pintar iPhone untuk isteri dan teman wanita.

Turut dituduh ialah seorang juru ukur bahan kerana didakwa menerima wang rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.

Pertuduhan tersebut adalah susulan daripada penahanan beberapa individu pada tahun lalu kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sebagai dorongan pemberian projek kepada pihak tertentu.

Sebelum itu, pada 23 Julai tahun lalu, dua bekas YDP majlis perbandaran di Selangor ditahan reman selama enam hari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Turut direman untuk tempoh yang sama ialah seorang kontraktor kerana dipercayai memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Sehari kemudian, seramai dua individu lagi yang terdiri daripada seorang pegawai daerah dan seorang juru ukur bahan ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012.

Manakala juru ukur bahan yang turut ditahan juga dipercayai memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek selain wang tunai hampir RM100,000 serta menerima suapan berbentuk barangan sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain di Selangor.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN