Rafizi lancar petisyen bantah PRU15 pada musim banjir -

Rafizi lancar petisyen bantah PRU15 pada musim banjir

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen dalam talian bagi mengumpulkan bantahan orang ramai terhadap usaha mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) dalam musim banjir.

Menerusi catatan Facebook beliau, hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.

“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran. Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya.

Rafizi menambah PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana di samping beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir. 

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

Kata Rafizi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin dan jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan semasa musim banjir.

Malah jelasnya semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini dan belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya