JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor berharap lebih ramai calon muda akan dipilih untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah percaya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mampu membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk BN.
“Calon yang memiliki kriteria ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’ berpeluang untuk bertanding tanpa mengira sama ada muka baharu atau muka lama.
“Selaku Ketua Pemuda UMNO, saya berharap seberapa ramai calon muda diberikan peluang bertanding di PRU15 ini. Saya percaya kebijaksanaan Pengerusi Perhubungan kita akan membuat keputusan yang tepat,” katanya ditemui selepas melawat seorang penerima bantuan pada Program Ziarah Perkeso di kediamannya di Taman Saujana di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.
Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi contoh terbaik dengan 11 calon Pemuda diberikan peluang untuk bertanding.
“Sebagai penanda aras pada PRN lalu, daripada 14 calon Pemuda BN yang dicadangkan, hanya tiga sahaja tak dipilih bertanding, bahkan ramai juga yang disenaraikan dalam barisan exco Kerajaan Negeri.
“Jika boleh saya ingin seberapa ramai mungkin tapi sedar di peringkat negeri Johor, demografinya unik. Kita perlu mengambil kira calon wanita, puteri dan bahagian, segalanya terserah kepada Pengerusi Perhubungan,” katanya.
Mengenai sudah menghantar nama calon Pemuda UMNO yang akan dicadangkan, katanya, senarai itu akan diserahkan pada bulan ini.
Katanya, dalam pertemuan dengan bekas Menteri Besar Johor itu, Hasni menitikberatkan tentang kekuatan jentera Pemuda membabitkan parti komponen MCA serta MIC dalam menghadapi PRU15.
“Kami di peringkat Pemuda UMNO bersama pemuda parti komponen sudah bersiap sedia untuk mengatur gerak kerja bagi membantu parti menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya. –UTUSAN