PASIR MAS: Pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semasa negeri-negeri Pantai Timur berhadapan dengan peralihan Monsun Timur Laut bermula November ini yang membawa kepada banjir bukan sahaja kurang sesuai malah tidak elok untuk rakyat.
Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, situasi itu dilihat cukup rumit untuk dilalui oleh semua pihak termasuklah jentera parti yang berdepan dengan kerja-kerja berkempen dan menyelamat mangsa banjir.
Menurutnya, kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya jika sekiranya mahu mengadakan PRU15 semasa tempoh peralihan Monson Timur Laut itu berlaku.
“Ura-ura nak adakan PRU15 ini sudah lama dan tarikh sebenarnya tiada siapa yang tahu. Namun, jika ia berlaku, kita perlu bersiap sedia untuk berdepan situasi itu,” katanya kepada pemberita selepas program Simulasi dan Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan pada tahun ini.
Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengharapkan tidak berlakunya PRU15 ketika musim banjir.
Katanya, hal ini kerana semua agensi terpaksa beri tumpuan kepada usaha menyelamat, memindahkan mangsa banjir sekali gus mengganggu proses PRU15.
“Jadi, kita doakan supaya tidak berlaku PRU15 ketika musim banjir ini dan sekiranya berlaku juga, kena ada persiapan lain untuk menghadapinya.
“Pada masa yang sama, pihak kami akan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir,” ujarnya.
Siti Zailah memberitahu, pihaknya menggalakkan mangsa banjir memakai pelitup muka dan ujian saringan Covid 19 tetap dilakukan di setiap PPS tersebut. –UTUSAN