KANGAR: Satu lagi pertembungan calon heavyweight pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin dapat disaksikan di kerusi Parlimen Ayer Hitam apabila Tony Pua dikatakan bertanding di kerusi itu.
Ahli Parlimen Damansara dari DAP itu dikatakan bakal mencabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA.
Menteri Pengangkutan itu merupakan penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak empat penggal lalu iaitu sejak 2004 dan menjadi satu-satunya wakil MCA yang menang kerusi Parlimen dalam PRU14.
Manakala Pua yang membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya 2008 menguasai Parlimen Petaling Jaya Utara yang sekarang dinamakan sebagai Damansara selama tiga penggal sehingga PRU14.
Pemimpin DAP itu juga berjaya mencatatkan majoriti undi paling tinggi di peringkat Parlimen pada PRU14 dengan 106,903 undi.
Jika pertembungan tersebut menjadi kenyataan bakal memberi cabaran cukup besar kepada Ka Siong yang pada PRU14 hanya menang tipis 303 undi mengatasi calon DAP, Liew Chin Tong dan wakil Pas, Mardi Marwan.
Sementara itu, Ka Siong ketika ditanya berhubung perkara tersebut menegaskan, beliau bersiap sedia berhadapan sesiapa sahaja termasuk Pua di Ayer Hitam.
“Itu hak masing-masing nak letak siapa pun, tidak ada sebab nak halang itu hak dia, kita hormati. Siapa sahaja lah, Tony Pua, Liew Chin Tong yang pernah kata tidak akan lari daripada Ayer Hitam.
“Takpa lah saya bersiap sedia untuk menunggu siapa sahaja (bertanding kerusi Parlimen Ayer Hitam) itu adalah hak masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvensyen MCA Perlis di salah sebuah hotel, di sini hari ini.
Pada PRU14, Ka Siong memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam apabila memperolehi 17,076 undi, manakala Chin Tong mendapat 16,773 undi dan calon Pas Mardi Marwan pula hanya mendapat 4,975 undi.
Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, MCA akan terus bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.
Katanya, perkembangan positif sokongan masyarakat Cina terhadap MCA khususnya dapat disaksikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini dan momentum tersebut diharap berterusan dalam PRU15.
“Kita juga akan mempertahankan kerusi-kerusi tradisi demi kemenangan BN,” katanya. – UTUSAN










