KULAI: Kementerian Pengangkutan akan meneruskan projek mega di bawah kendaliannya walaupun negara kini berdepan inflasi menyebabkan kejatuhan nilai ringgit.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pelaksanaan projek-projek berkenaan dipersetujui dengan nilai yang ditetapkan sebelum ini.
Justeru, katanya, tiada sebab untuk menangguhkan projek-projek terlibat hanya disebabkan inflasi.
“Projek bawah Kementerian yang sedang berjalan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) contohnya akan berjalan seperti biasa. Ini kerana ia ditawarkan pada harga ditetapkan dengan pelaksanaan sudah melebihi 30 peratus.
“Jadi, sebarang kejatuhan nilai wang tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek, ia akan tetap diteruskan mengikut jadual. Untuk projek ECRL, terdapat sejumlah 1,076 tapak projek yang sedang berjalan serentak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan MCA Johor di sini, hari ini.
Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, projek mega lain juga masih berjalan seperti dijadualkan termasuk Projek Transit Aliran Massa (MRT) 2, MRT 3, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) serta Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan menyerahkan senarai saranan pihaknya kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Katanya, semua kementerian pastinya mahukan peruntukan yang lebih besar, namun perkara itu perlu bersandarkan kemampuan kewangan semasa negara.
“Bukan sahaja Kementerian Pengangkutan, kementerian-kementerian lain juga telah serahkan senarai kehendak dan keperluan mereka tetapi kita perlu lihat realiti semasa, keputusan akan dibuat berdasarkan keutamaan,” katanya. –UTUSAN