SHAH ALAM: Polis merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik laman Instagram yang menghantar mesej berbaur ugutan terhadap pengulas sukan, Hafizal Hamad pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya setakat ini belum membuat sebarang tangkapan berkaitan kes itu.
“Kita sudah berhubung dengan SKMM bagi menyemak identiti sebenar pemilik laman ‘antimediababi’ tersebut.
“Selain itu, kita merekodkan keterangan Hafizal yang juga pengadu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, Hafizal tampil membuat laporan polis, kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima ugutan daripada peminat fanatik pemain badminton perseorangan negara.
Antara mesej itu berbunyi ‘lagi sekali ko bagi kritikan negatif dkt semua atlet Malaysia ko aku akan kerjakan’ dan ‘ko buat pesanan maut menanti depan rumah ko’.
Siasatan awal polis mendapati pengadu ada menyentuh kemerosotan Lee Zii Jia dalam rancangan ‘Nindia Pak Long’ dan laporan dibuat kerana ia menimbulkan kegusaran kepadanya sekeluarga.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal berkata, polis masih membuka satu kertas siasatan bagi kes berkenaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang menunggu maklumat daripada SKMM,” ujarnya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Hadi di talian 016-2745515 atau balai polis berdekatan. –UTUSAN










