fbpx

PKR N. Sembilan umum barisan kepemimpinan baharu

MUHAMMAD Nazri Kassim (kiri) dan Kenny Chiew Chi Kin kini memikul tugas sebagai Timbalan Pengerusi Negeri dan Naib Pengerusi Negeri dalam barisan kepemimpinan baharu PKR Negeri Sembilan yang diumumkan hari ini.

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan hari ini mengumumkan barisan kepemimpinan baharu bagi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi sesi 2022-2025 yang diketuai oleh Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengerusi Negeri.

Jawatan Timbalan Pengerusi Negeri pula kini dipikul Ketua Cabang Seremban, Muhammad Nazri Kassim yang sebelum ini merupakan Setiausaha Keadilan Negeri Sembilan.

Aminuddin yang juga merupakan Naib Presiden PKR berkata, dua jawatan Naib Pengerusi Negeri pula disandang oleh Naib Ketua Cabang Port Dickson, Kenny Chiew Chi Kin dan Ketua Cabang Kuala Pilah, Shahran Kaat.

Jelasnya lagi, Ketua Wanita Cabang Kuala Pilah, Nurzunita Begum Ibrahim pula bertindak sebagai Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri disandang oleh Ketua AMK Cabang Seremban, Mohamad Afif Anuar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu yang juga Ketua Cabang Rasah, Datuk Ismail Ahmad pula menyandang sebagai Ahli MPN.

Empat ADUN PKR yang lain iaitu ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi, ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu dipilih sebagai Ahli MPN (Jemputan).

Ravi yang merupakan Timbalan Yang Dipertua DUN dan Mohamad Rafie yang merupakan ahli Exco Kerajaan Negeri tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Ravi tewas kepada Aminuddin bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson manakala Mohamad Rafie tewas kepada Muhammad Nazri di Cabang Seremban.

Diew Ching dan Mohamad Nazaruddin pula tidak bertanding pada pemilihan parti yang lalu.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN