Persatuan Artisan Diraja Malaysia ditubuh - Tunku Azizah -

Persatuan Artisan Diraja Malaysia ditubuh – Tunku Azizah

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah berkenan hadir pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Hotel Marriot, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia sebagai mengiktiraf dan mengekalkan bakat dan kemahiran adiguru kraf sepanjang zaman.

Titah baginda, pengiktirafan berkenaan akan diberikan kepada mereka yang mahir dalam kraf masing-masing dan berkelayakan meneruskan legasi kepada generasi akan datang. 

“Beta mempunyai visi yang sepatutnya menjadi wawasan semua, meninggalkan kraf tradisional berharga sebagai legasi kepada generasi masa depan. Ini harapan beta.

“Sebagai ‘penjaga’ kebudayaan, saya bertanggungjawab untuk memelihara, menghidupkan semula dan meninggalkan legasi bukan sahaja tentang tekstil tetapi budaya dan warisan secara keseluruhannya.

“Inilah perjalanan beta dari istana kepada rakyat, namun, beta hanya dapat menyambut perjalanan ini apabila beta dijamin bahawa ia akan berterusan untuk generasi akan datang,” titah Seri Paduka Baginda pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan merasmikan majlis berkenaan yang menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara anggota dan rantau lain yang turut dihadiri sultanah-sultanah negeri. 

Tunku Azizah turut bertitah agar penyelesaian terbaik dicari bagi memelihara elemen kesenian dan kraftangan sedia ada seterusnya memastikan khazanah silam itu terus wujud pada masa akan datang.

Titah Seri Paduka Baginda, pemeliharaan khazanah kesenian itu amat penting agar ia tidak akan pupus atau sekadar menjadi bahan bacaan dalam buku sejarah.

“Kita perlu mencari cara agar kesenian dan kraftangan terus dipelihara. Cabarannya ialah bagaimana untuk menggalakkan pemegang budaya berkongsi kemahiran serta ilmu mereka supaya elemen itu tidak terus berhenti atau mati.

“Dalam menyambut tekstil sebagai satu perjalanan, kita juga meraikan satu perjalanan lalu yang membawa semua ke satu tempat di mana kita berada. Kita juga mempunyai harapan serta visi dalam memanfaatkan generasi akan datang,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia melalui pelbagai kementerian yang memainkan peranan penting bagi menyokong usaha mempromosi dan memelihara tradisi seni yang dimiliki sejak turun temurun.

“Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor merupakan contoh usaha dilakukan kerajaan bagi mempromosi dan memelihara kesenian dan kraftangan tradisional seperti anyaman, ukiran kayu, logam halus, batik, seramik serta lain-lain.

“Proses itu dilakukan melalui pendidikan formal di mana kursus ditawarkan kepada pelajar dengan subsidi diberikan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan,” titah Baginda. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya