KANGAR: Kerajaan negeri sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah daripada segi kesiapsiagaan dalam menghadapi PRU15 sekiranya Parlimen dibubarkan bila-bila masa.
Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen, kerajaan negeri Perlis juga akan turut sama membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 berjalan serentak.
“Ada mengatakan bencana banjir akan berlaku tapi ada juga PRU sebelum ini pernah berlangsung dalam keadaan hujan, namun, ia tetap berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia di Kampung Kebun di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami itu dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini turut menerima desakan daripada beberapa pemimpin dan ahli UMNO yang menggesa beliau agar menyegerakan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pelaksanaan PRU15 pada tahun ini.
Bagaimanapun, sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Titiwangsa baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu memberi bayangan bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat tanpa menyatakan tarikh sebenar pembubaran Parlimen. –UTUSAN