PERLIS yang mempunyai penduduk sekitar 200,000 orang hanya mempunyai tiga Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengikut data 2021, Parlimen Arau merangkumi sebanyak 60,729 pengundi, Kangar melibatkan 74,859 pengundi dan Padang Besar pula 56,090 pengundi.
Menariknya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), penyertaan pelbagai parti politik dijangka mewarnai pilihan raya di negeri ini dengan terbaharu Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mula bertapak di Perlis turut dikatakan bertanding.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dikatakan bakal meletakkan calon di negeri ini dengan sekurang-kurangnya bertanding di enam kerusi DUN.
SINONIM
Di Perlis, lazimnya parti-parti politik yang sinonim sejak sekian lama adalah Barisan Nasional (BN), Pas dan PKR.
Rakan PKR iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menerusi Pakatan Harapan (PH) selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula bertapak sejak pilihan raya lalu dan dilihat masih terlalu jauh untuk memikat hati pengundi yang sudah sinonim dengan BN atau Pas.
PH khususnya PKR hanya mula menunjukkan taring di negeri ini pada PRU14 apabila menang tiga kerusi DUN dan satu Parlimen di Kangar.
BN yang memenangi 10 kerusi DUN dan dua Parlimen dalam PRU14 dijangka tidak menghadapi masalah terus menguasai Perlis dalam pilihan raya akan datang dan berpotensi besar kembali merampas kerusi-kerusi yang mereka kalah sebelum ini.
Bagi parti-parti lain seperti Warisan dan Pejuang, peluang mereka menang meskipun satu kerusi agak sukar dan tidak mustahil hilang wang pertaruhan.
Setakat ini, hanya Pas dan PKR yang dilihat menjadi pesaing terkuat BN.
Di Parlimen Arau, BN dijangka tidak menghadapi masalah mengekalkan kerusi tersebut. BN juga dilihat tidak mempunyai masalah mengekalkan DUN Pauh, Simpang Empat dan Tambun Tulang.
Di Padang Besar, kesemua lima kerusi DUN dan Parlimen di kawasan berkenaan dalam PRU14 dijangka tidak berdepan masalah untuk dikekalkan manakala di Kangar, persaingan agak terbuka khususnya antara BN dan PKR. – UTUSAN










