Perkeso sasar 300,000 Orang Bekerja Sendiri daftar sebagai

Perkeso sasar 300,000 Orang Bekerja Sendiri daftar sebagai pencarum

JOHN Riba Marin (tengah), bercakap dalam sidang akhbar Ops Pemutihan 2.0, di Menara Perkeso di sini hari ini. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan 300,000 kumpulan Orang Bekerja Sendiri (OBS) tampil mendaftarkan diri sebagai pencarum supaya dilindungi menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). 

Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Operasi, John Riba Marin berkata, Perkeso akan melaksanakan program Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 bermula Oktober ini sebagai inisiatif meningkatkan jumlah pencarum bagi kalangan OBS. 

“Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 yang akan dilaksanakan selama sebulan ini bermula dari 1 hingga 31 Oktober 2022. Usaha ini bertujuan untuk menggalakkan OBS mendaftar dan dilindungi dengan Perkeso menerusi SKSPS.

“Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 ini juga dilihat sebagai usaha berterusan Perkeso untuk memastikan lebih ramai OBS tampil mendaftar diri dan merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Bulan Pemutihan dan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan pada bulan Mei dan Jun yang lalu,” jelas John ketika sidang media di Menara Perkeso, Jalan Ampang hari ini. 

Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kegagalan OBS dalam dua sektor berkenaan untuk mendaftar dan mencarum SKSPS merupakan satu kesalahan dan boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau didenda RM10,000.00 atau kedua-duanya, sekiranya sabit kesalahan.

Menurut John, bulan pemutihan yang dilaksanakan sebelum ini iaitu pada Mei lalu telah berjaya meningkatkan kesedaran OBS dalam dua sektor mandatori mendaftar Perkeso. 

Kedua-dua sektor wajib tersebut adalah Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan & Penghantaran Barangan atau Makanan. 

“Sehingga 27 September, jumlah keseluruhan OBS mencarum secara aktif dengan SKSPS adalah seramai 559,474 OBS dengan 50 peratus daripadanya adalah dua sektor mandatori tersebut yang seramai 322,371 OBS.

“Bagi Sektor Pengangkutan Penumpang, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus iaitu sebanyak 33,992 OBS yang mencarum SKSPS pada Mei 2022 berbanding 2,425 OBS pada bulan April 2022,” katanya. 

Sementara itu, John juga menjelaskan sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan juga terdapat peningkatan melebihi 100 peratus iaitu 37,014 OBS yang telah daftar dan carum pada Mei 2022 berbanding hanya 3,192 OBS direkodkan telah daftar pada bulan April lalu.

Mengulas lanjut mengenai Bulan Pemutihan 2.0, Perkeso amat menggalakkan lapan kumpulan sasaran untuk memohon serta memanfaatkan inisiatif Skim Pekerjaan (SPS) Padanan Caruman di bawah Bajet 2022. 

“OBS yang layak boleh memohon insentif ini dan mendapatkan bantuan padanan caruman SKSPS untuk tempoh perlindungan selama setahun dengan hanya membayar RM46.60 iaitu hanya 20 peratus dari jumlah keseluruhan di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS. 

“Baki bayaran caruman sebanyak RM186.20 akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Lapan kumpulan sasar di bawah SPS Padanan Caruman Itu termasuk SPS Usahawanita, Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak (SPS Asal), OBS yang menggunakan aplikasi digital di bawah syarikat pengantara atau Service Platform Provider (SPS Gig), penjaja di pasar, gerai, kiosk dan food truck (SPS Jaja); OBS dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan perhutanan (SPS Tani); OBS dalam sektor kesenian; OBS dalam sektor pelancongan (SPS Lancong) dan OBS yang kurang upaya (SPS Lain Upaya). 

Selain itu, OBS dalam empat kategori sasaran seperti anggota pasukan sukarelawan dan penjawat awam pula digalakkan untuk merebut manfaat yang disediakan kerajaan menerusi inisiatif SPS Khidmat yang turut diperkenalkan dalam Belanjawan 2022. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya