fbpx

Penceramah motivasi saksi pertama kes tuduhan gangguan seksual Ebit Lew

EBIT Lew semasa meninggalkan Mahkamah Majistret bagi sesi pagi perbicaraan kesnya di Tenom hari ini

TENOM: Penceramah motivasi, Mohd. Fairuz Abu dipanggil sebagai saksi pertama pihak pendakwaan bagi perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim,37.

Mohd. Fairuz,37, yang dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi tampil sebagai saksi memberi keterangan kepada mahkamah bagaimana beliau meyakinkan mangsa kepada kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew untuk membuat laporan polis.

Beliau memaklumkan mahkamah bahawa mangsa wanita berusia 40-an itu menghubunginya melalui aplikasi Whatsapp pada pukul 11.43 malam, 26 Julai 2021 selepas saksi memuat naik satu paparan dalam laman Facebook pada hari yang sama.

“Saya kongsikan posting (paparan) berkaitan seorang pendakwah selebriti yang telah lakukan gangguan seksual kepada wanita.

“Dalam posting itu saya cadangkan wanita lain yang menjadi mangsa sama untuk hubungi saya agar mereka boleh dibantu dari segi kaunseling psikologi dan bantu mereka untuk tampil ke depan lapor kepada pihak polis.

“Saya telah menerima berpuluh mesej yang mengadu pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh individu lain dan Ebit Lew. Salah seorang daripada individu yang menghubungi saya ialah mangsa (kes ini).

“Pada awalnya wanita tersebut tidak perkenalkan diri, tidak sebut nama. Apa yang beliau mesej adalah bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam posting saya pada tarikh sama.

“Bila saya sebut Ebit Lew, maka, mangsa terus kongsi tangkap layar perbualan dan gambar kemaluan yang diberi oleh Ebit melalui aplikasi Whatsapp,” katanya dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Kemudian Mohd. Fairuz menghantar tangkap layar tersebut kepada pendakwah, Firdaus Wong kerana ketika itu Firdaus turut mengendalikan kes yang melibatkan wanita lain membabitkan Ebit Lew.

Pada 27 Julai 2021, Mohd. Fairuz menghubungi mangsa bagi mendengar penuh kronologi gangguan seksual yang berlaku terhadapnya.

“Pada awalnya, beliau (mangsa) takut dan rasa tidak selamat untuk berkongsi namun, selepas tenangkan beliau, baru wanita itu berkongsi dari A-Z. Saya cadang kepada beliau untuk buat laporan polis tapi, beliau takut dan berkata ‘saya orang kecil saja, Ebit orang besar jadi, saya tak nak buat report,” katanya.

Tambah beliau, selepas mencadangkan agar mangsa membuat laporan polis, mangsa meminta waktu bagi berbincang bersama suami.

Akhirnya laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021 dan Mohd. Fairuz dipanggil menjadi saksi untuk memberi kenyataan kepada pihak polis dan telefon bimbitnya diberi kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Star.

Ketika membuat laporan polis itu merupakan kali pertama Mohd. Fairuz bertemu mangsa secara bersemuka kerana sebelum ini, mereka hanya berhubung melalui telefon dan aplikasi Whatsapp.

Mahkamah turut meminta saksi membuat pengecaman terhadap enam individu termasuk tertuduh Ebit Lew dan seorang wanita yang merupakan mangsa.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah ini antara Mac hingga Jun 2021.

Justeru, beliau didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan hari pertama bersambung semula pada pukul 2 petang. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN