Pencapaian akademik rendah punca gaji sedikit - Utusan Malaysia

Pencapaian akademik rendah punca gaji sedikit

Pencapaian akademik rendah punca gaji lepasan kejuruteraan bawah RM2,000. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian akademik rendah dalam kalangan graduan antara punca jurutera di Malaysia masih menerima gaji permulaan bawah RM2,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, daripada perspektif majikan pula, graduan kejuruteraan baharu dianggap tidak menyumbang kepada pendapatan syarikat di peringkat awal pekerjaan manakala gaji permulaan jurutera masih bergantung kepada penawaran dan permintaan.

Rumusan tersebut berdasarkan satu kajian dikeluarkan Pasukan Petugas Khas Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang ditubuhkan bagi meneliti isu gaji permulaan jurutera rendah seperti pernah dibangkitkan Utusan Malaysia dan beberapa pihak lain tahun lalu.

Menurut LJM dalam kenyataan, punca lain adalah pilihan pekerjaan yang terhad dalam bidang kejuruteraan, kurangnya kesedaran skop kerja profesion kejuruteraan oleh graduan dan majikan serta tiada tanda aras atau ketetapan gaji asas permulaan untuk rujukan majikan dan graduan.

“Malah terdapat majikan menawarkan jawatan jurutera tanpa mementingkan pendaftaran dengan LJM. Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) mempunyai kekangan yang menghadkan penguatkuasaan.

“Punca gaji rendah lain adalah skala fi kejuruteraan (sektor pembinaan) yang rendah berbanding skala fi badan profesional lain, gaji permulaan jurutera meningkat pada kadar kecil dan tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup semasa (peningkatan kadar inflasi),” kata kenyataan itu semalam.

JURUTERA

Dalam pada itu, kajian Pasukan Petugas Khas terlibat turut mendapati sekitar 35 peratus jurutera di Malaysia menerima gaji permulaan bawah RM2,000 sekali gus tidak selaras dengan kadar inflasi negara iaitu 3.2 peratus.

Sebaliknya LJM memaklumkan, kenyataan bahawa gaji permulaan jurutera tidak berubah sejak 20 tahun (2000-2021) adalah tidak tepat kerana kajian mendapati purata kenaikan gaji tahunan bagi sektor awam dan swasta masing-masing 2.9 dan 2.2 peratus.

“Kajian mendapati skim kejuruteraan di dalam perkhidmatan awam berada pada kedudukan ketiga selepas perubatan dan kesihatan dan kewangan. Sektor penyelidikan dan pembangunan serta perbuatan dan pengeluaran menawarkan julat peratusan gaji permulaan melebihi RM2,000 yang paling tinggi iaitu 75 peratus,” kata LJM lagi.

Justeru, LJM mencadangkan julat gaji permulaan jurutera antara RM2,500 hingga RM3,500 dan menggalakkan gaji permulaan lebih tinggi mengikut kemampuan majikan sebagai pelan jangka pendek bagi mengatasi isu tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN