KOTA BHARU: Sebahagian besar pelajar sekolah menengah di daerah ini tetqap memilih memakai pelitup muka meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi mewajibkan pemakaiannya di kawasan sekolah.
Tinjauan di beberapa sekolah di Kota Bharu mendapati, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah turun dari kenderaan ibu bapa atau bas masih memakai pelitup muka sebaik sahaja masuk ke pintu pagar sekolah.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan murid dan pelajar yang tidak memakai pelitup muka, namun jumlahnya tidak ramai berbanding mereka yang terus memakainya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Mohamad Ezani Mohd. Firdhaus, 16, berkata, pemakaian pelitup muka sudah sebati dengan kehidupan sehariannya malah tidak merasakan tindakan itu sebagai menyusahkan.
“Lebih baik memakai pelitup muka untuk mengelak pelbagai jangkitan penyakit tidak semestinya Covid-19.
“Bagaimanapun, terpulang kepada pelajar lain sama ada mahu memakai pelitup muka di sekolah atau tidak, namun saya tetap akan memakainya,” katanya.
Seorang lagi pelajar SMK Dato’ Ahmad Maher, Nur Nisrin Azhar, 13, berkata, dia mengambil langkah untuk terus memakai pelitup muka ke sekolah semalam.
“Saya akan memakai pelitup muka di semua tempat. Saya pernah dijangkiti Covid-19. Jadi, pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik untuk mengelakkan jangkitan itu berulang kepada saya dan keluarga,” ujarnya.- UTUSAN










